KUALA LUMPUR – Kunjungan dua kapal latihan dari China ke Pulau Pinang bukanlah pelajar seperti diberitahu Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek sebaliknya mereka ialah kadet dari Naval University of China yang dilatih untuk menjadi kelasi.
Menurut Khairy Jamaluddin Abu Bakar, adalah tidak mustahil kelasi-kelasi ini akan bekerja di atas kapal perang yang akan menceroboh kawasan perairan Malaysia kelak.
“Kehadiran pelajar universiti di Sekolah Menengah Chung Ling (persendirian), pakai uniform tentera laut China dan itu telah pun menimbulkan kecaman.
“(Sebenarnya) mereka ini adalah kadet, jadi (kenyataan) Menteri Pendidikan tak betul (mereka itu) bukan pelajar universiti biasa.
“Mereka ini adalah kadet di universiti pertahanan tentera laut China yang sedang dilatih untuk jadi kelasi, dan mungkin suatu hari nanti akan jadi kelasi di atas kapal perang yang akan menceroboh kawasan perairan Malaysia,” dakwa Khairy dalam audio siar Keluar Sekejap yang dimuat naik pada Isnin.
Tegas bekas Menteri Kabinet itu, secara optiknya kunjungan kadet kelasi China itu tidak menjaga sensitiviti.
“Secara optiknya, memang tak baguslah walaupun penjelasan dibuat bahawa ini program diplomasi biasa, pertukaran budaya dan sambutan ulang tahun ke-50 hubungan Malaysia-China.
“Kalau tentera laut dengan tentera laut saya rasa tak ada masalah tapi kalau kadet kelasi tentera laut China pergi ke sekolah memang optiknya tak jaga sensitiviti.
“Mungkin bukan cara ini nak rai 50 tahun hubungan diplomatik,” ujar beliau.