Oleh Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) sekali lagi melakar sejarah serta mengangkat nama negara di rantau Asia Pasifik sebagai peneraju inovasi wakaf di Malaysia apabila meraih Anugerah Inspirational Brand pada Majlis Asia Pacific Enterprise Awards (APEA) 2025 di The Sands Expo & Convention Centre, Marina Bay Sands, Singapura baru-baru ini.
Pengiktirafan ini merupakan bukti komitmen YWM sebagai entiti wakaf kebangsaan yang sentiasa memperkasa peranan wakaf dalam membina kesejahteraan masyarakat, mengukuhkan ekonomi ummah serta menyumbang kepada agenda pembangunan negara.
YWM dalam kenyataan berkata, kejayaan ini seiring dengan aspirasi Malaysia Madani, yang menekankan nilai kesejahteraan, keadilan sosial dan kemampanan.
Melalui inisiatif berterusan di
bawah Pelan Al-Falah, YWM bukan sahaja mengurus wakaf sebagai instrumen kewangan Islam, tetapi juga memanfaatkannya dalam bidang pendidikan, kesihatan, pemerkasaan ekonomi, pemeliharaan persekitaran dan pembangunan komuniti.
Ketua Pegawai Eksekutif YWM, Dr. Ridzwan Bakar berkata, pengiktirafan ini adalah milik seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa menyokong perjuangan wakaf sebagai instrumen pembangunan sosioekonomi negara.
Katanya, YWM akan terus melangkah ke hadapan dengan visi menjadikan Malaysia sebagai hab wakaf terkemuka dunia dan usaha ini perlu mendapat sokongan berterusan daripada semua pihak.
“YWM telah melaksanakan pelbagai inisiatif strategik seperti pembangunan hartanah wakaf, wakaf pendidikan, wakaf kesihatan, wakaf kelestarian alam sekitar serta kerjasama pintar bersama sektor awam dan swasta.
“Pendekatan inovatif ini telah menjadikan wakaf sebagai pemangkin ekonomi inklusif dan mampan yang memberi manfaat kepada seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama, ”katanya lagi.
Tambahnya, anugerah ini bukan sahaja mengiktiraf YWM sebagai jenama inspirasi di rantau Asia Pasifik, malah turut mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai model unggul dalam mengangkat wakaf ke peringkat global.
Majlis penganugerahan ini turut disaksikan oleh Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura, Tuan Yang Terutama Ismail Mohamad Bkri.
Untuk rekod, antara pencapaian terhebat YWM, berjaya merangkul Industry Outstanding Award (ASEAN Islamic Financial Services) di Malaysia Industry Award (MINDA) 2025 Ogos lalu.
Selain itu, YWM turut meraih Anugerah Inovasi JPM 2024 (Trek Ekonomi) bagi produk Pengaplikasian Wakaf Muaqqat dalam Pelaksanaan Program iTEKAD CIMB Islamic Rider Entrepreneur dan tempat ketiga Anugerah Inovasi JPM 2024 (Trek Sosial) bagi produk Masjid Hijau: Pembiayaan Alternatif Sektor Teknologi Hijau Melalui Wakaf.
Dengan lebih 20 inovasi produk wakaf yang telah dilancarkan bersama rakan-rakan strategik jelas membuktikan jenama wakaf yang dibawa oleh YWM.-SUARA.TV



