KUALA LUMPUR - Kecenderungan pengundi muda untuk konteks Sabah dan Sarawak ialah lebih fokus kepada isu autonomi, pembangunan infrastruktur, dan akses kepada sumber ekonomi.
Memperincikan kecenderungan itu bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak menjelaskan, pembangunan asas seperti jalan, sekolah, dan kemudahan internet di luar bandar serta peluang pekerjaan dan kos sara hidup di bandar adalah keutamaan.
Justeru Adun Usukan itu berkata, parti politik perlu memastikan pendekatan berbeza ini untuk mengukuhkan sokongan pengundi muda di Sabah dan Sarawak, selain daripada keperluan pengundi muda di Semenanjung.
“Pengundi muda kini menjadi kuasa penting dalam pilihan raya, termasuk di Malaysia dengan pelaksanaan Undi18.
“Untuk menarik sokongan mereka, parti politik perlu sedar bahawa pengundi muda bukan satu kumpulan yang seragam. Mereka tidak semestinya anti-establishment, tetapi lebih fokus kepada isu-isu seperti peluang ekonomi iaitu pekerjaan, kestabilan ekonomi, dan perumahan mampu milik.
“Selain itu, pendidikan dan Kemahiran melibatkan akses kepada pendidikan berkualiti dan selaras dengan pasaran kerja,” jelasnya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurut Salleh lagi, pengundi muda di Sabah dan Sarawak juga mahukan keadilan sosial dan alam sekitar.
“Pengundi muda mahukan ketelusan, hak asasi manusia, dan dasar iklim yang lestari.
“Juga menuntut penglibatan digital menerusi penggunaan media sosial dan teknologi untuk komunikasi lebih efektif,” kata Salleh.
Mengulas lanjut, beliau juga memberitahu pengundi muda di Sabah dan Sarawak turut menginginkan kerajaan yang berpegang kepada prinsip anti-rasuah dan tadbir urus baik.
“Maksudnya kerajaan yang mengutamakan ketelusan dan akauntabiliti dalam pentadbiran.
“Juga penglibatan politik iaitu belia ingin peluang untuk terlibat dan memimpin,” perinci Salleh.