KUALA LUMPUR- Hak untuk Pengampunan Diraja adalah hak Yang di-Pertuan Agong, bukan hak Pakatan Harapan (PH).
Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh malah menegaskan, Yang di-Pertuan Agong berhak memberi pengampunan dan ia wajar dihormati.
“Bagaimana kita menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong memberikan Pengampunan Diraja kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, begitu juga PH perlu menghormati apa sahaja keputusan Agong terhadap Datuk Seri Najib Razak.
“Jangan memandai-mandai. Full stop,” tegas beliau.
Akmal berkata demikian sebagai reaksi terhadap kenyataan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang menyatakan, PH kekal dengan pendirian untuk tidak bersetuju pengampunan diberikan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Bagaimanapun, Menteri Ekonomi itu, berkata walaupun PH tidak bersetuju namun gabungan itu tidak mencampuri urusan berkaitan pengampunan terbabit.
“Itu memang pendirian kita (PH), cuma proses pengampunan ini, ada proses tertentunya dan akhirnya ia adalah di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong.
“Namun jika ingin bertanya sama ada bersetuju, sebagai PH kami tidak bersetuju dan kami juga tidak mencampuri urusan terbabit,” katanya.