Hassan gesa Anwar perjelas isu DNAA Zahid di Parlimen agar pembangkang faham

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Gudang menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi penjelasan di Dewan Rakyat mengenai keputusan melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram milik Yayasan Akalbudi.

Hassan Abdul Karim menyifatkan langkah itu penting bagi membolehkan ahli Parlimen pembangkang mendapat penjelasan sebenar.

Katanya, adalah lebih baik Perdana Menteri menjelaskan sendiri isu berkaitan Presiden Umno itu berbanding kenyataan yang dilaporkan di media.

“Dari segi undang-undang, apa yang dilaporkan dalam akhbar (media massa) itu (statusnya) adalah dengar cakap, namun saya percaya apa yang beliau cakap (katakan) kerana ia perbualan antara sahabat dalam parti, perbualan antara pemimpin dengan ahli parti.

“Saya percaya apa yang beliau (Perdana Menteri) cakap, saya tidak akan mencampakkan beliau di bawah ‘bas’ dan akan pertahankan beliau di dewan ini.

“Namun untuk berlaku adil supaya sahabat di blok pembangkang jelas (perkara ini), kami hendak dengar sendiri dari Perdana Menteri supaya isu DNAA dinoktahkan di dewan ini,” katanya lapor BH.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), di Dewan Rakyat, pada Khamis.

Hassan yang juga bekas Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Johor berkata, beliau kurang berpuashati dan mahu Peguam Negara memikul tanggungjawab dalam isu berkenaan.

Katanya, beliau setuju supaya Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi memanggil Peguam Negara yang lalu dan kini untuk menjawab isu berkenaan.

“Peguam Negara mesti datang untuk menjawab, dan jangan beri alasan untuk tidak datang… ini kerana jawatankuasa dan Parlimen ada integriti,” katanya.

Beliau menegaskan akan terus mempertahankan Perdana Menteri dalam isu berkenaan dan percaya tidak ada campur tangan dalam isu berkenaan.

“Ketika keputusan mahkamah itu di buat, Perdana Menteri di Jakarta kerana menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN dan saya baca laporan menyatakan yang beliau menjelaskan beliau tidak campur tangan itu kerana ia atas kuasa budi bicara Peguam Negara.

“Apabila Perdana Menteri balik ke Malaysia, beliau juga tegaskan perkara itu (keputusan DNAA) adalah budi bicara Peguam Negara dan tidak boleh campur tangan kerana ia kuasa budi bicara Peguam Negara,” katanya.

Beliau menjelaskan isu DNAA itu sudah dikemukakan kepada Perdana Menteri secara peribadi dan dengan tegas Perdana Menteri menyatakan tidak campur tangan bukan saja keputusan mahkamah itu tetapi juga kuasa Peguam Negara dan setuju badan kehakiman perlu bebas membuat keputusannya sendiri.

“Malah apabila (Ahli Parlimen) Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan (Ahli Parlimen) Tasek Gelugor (Datuk Wan Saiful Wan Jan) dituduh di mahkamah, saya ada nyatakan secara terus kepada Perdana Menteri jangan aniaya saingan politik.

“Saya nyatakan tidak setuju perkara itu dan Perdana Menteri menyatakan beliau setuju dan tidak campur tangan tetapi beliau dimaklumkan agensi penguat kuasa mempunyai bukti dan kuat dan (kes) diteruskan dan beliau tidak mengganggu atau campur tangan,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat