KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa beliau tidak memohon kekebalan daripada saman, sebaliknya hanya merujuk persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan bagi diputuskan.
Anwar berkata, beliau hanya memohon keputusan mahkamah berhubung persoalan apakah tuntutan yang tidak mempunyai asas munasabah (frivolous), tindakan menindas pihak lawan tanpa niat sebenar untuk mendapatkan keadilan (vexatious) dan penyalahgunaan proses mahkamah diterima dalam semua kes termasuk kes sivil.
“Yang dimohon ialah bertanya keputusan mahkamah, apakah mungkin, sesiapa saja boleh buat serangan kepada Perdana Menteri, secara frivolous dan vexatious yang mengganggu perjalanan kerja kita?
“Terserah kepada mahkamah. Mahkamah yang membuat keputusan, bukan Perdana Menteri. Keputusan itu keputusan mahkamah,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, lapor BH pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang memohon penjelasan berhubung dakwaan beliau memohon diberikan kekebalan dari segi undang-undang untuk menghadapi kes, sama ada sivil ataupun jenayah di mahkamah.
Jun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Anwar bagi merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan, antaranya sama ada Perdana Menteri mempunyai imuniti daripada tindakan saman.
Beliau memohon Mahkamah Persekutuan menjawab persoalan, termasuk sama ada mengikut Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan, seorang Perdana Menteri yang sedang memegang jawatan menikmati kekebalan terhad daripada tindakan saman berhubung dakwaan perlakuan peribadi berlaku sebelum pelantikan beliau.



