KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh memberi jaminan himpunan yang dijadual akan diadakan di depan kedai perkakas di Bertam, Kepala Batas Pulau Pinang pada petang Khamis tidak akan membangkitkan ketegangan seperti dibimbangi pihak berkuasa.
“Kami datang nak tengok bendera besar dan makan nasi kandar jer,” itu reaksi ringkas Akmal.
Pernyataan itu menyusul kenyataan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail yang menasihati orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan yang dijadual diadakan di Bertam, Kepala Batas pada Khamis bagi menjaga keselamatan penduduk setempat dan ketenteraman awam.
Azizee berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai penganjuran perhimpunan itu dan menggesa semua pihak bersabar menunggu keputusan Pejabat Pendakwa Raya.
“Jangan ambil sebarang tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan.
“Polis akan bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang atau melakukan pecah keamanan, kekacauan, huru-hara atau jenayah mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini, Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang Mohd Hilmi Elias mengesahkan satu perhimpunan akan diadakan di Bertam, Kepala Batas pada Khamis ini sebagai maklum balas kepada kesediaan DAP menyambut kehadiran mereka dengan pengedaran 831 helai Jalur Gemilang.
Beliau berkata, program yang dijadualkan pada jam 5.30 petang itu akan turut disertai Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Akmal Saleh yang juga bakal disertai Armada Bersatu sebagai solidariti rentas parti mempertahankan maruah Jalur Gemilang.



