CYBERJAYA: Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mendakwa, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah melanggar perjanjian yang meletakkan syarat mana-mana pemimpin parti yang dihadap ke Mahkamah perlu mengundur diri.

Jelas Mohamed Nazri, perjanjian yang dibuat pada 2009 dipersetujui oleh Najib merupakan perdana menteri ketika itu dan Zahid yang turut berada dalam kabinet.

“Sekarang, mereka menguasai parti bukan mengotakan janji yang telah dibuat,” katanya ketika bercakap dalam satu forum di Yusof Ishak Institute.

Najib kini dalam proses terakhir untuk merayu keputusan yang dibuat oleh dua Mahkamah sebelum ini yang menjatuhkan hukuman bersalah terhadapnya melibatkan penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

Manakala Ahmad Zahid pula kini dalam proses membela diri atas 47 pertuduhan yang disabitkan keatasnya melibatkan pecah amanah dana milik Yayasan Akal Budi.

Diminta mengulas tentang usaha menerukan perjanjian persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dengan Pakatan Harapan (PH), Mohamed Nazri menjelaskan masalah yang dihadapi Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah tentangan datang dari UMNO bukan pihak lain.

“Yang menentang MoU ini bukan pembangkang tetapi sebaliknya dari parti kami sendiri, mereka di dalam UMNO.

“Saya bimbang dengan UMNO. Saya tidak bimbang tentang Pas atau Bersatu. UMNO merupakan musuh terbesar kita pada masa ini,” katanya lagi.

Mohamed Nazri juga mendakwa pihak-pihak tertentu yang magu MoU ditamatkan dan mahukan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) disegerakan kerana mempunyai kepentingan peribadi.

“Perkara ini datang dari parti saya sendiri, kenapa? Ini kerana kepentingan peribadi, nak mengelak kes mahkamah.

“Apa yang akan berlaku kepada mereka jika mahkamah mendapati mereka bersalah? Ini memalukan dan tidak masuk akal,” katanya.

Beliau juga menjelaskan UMNO tidak sepatutnya ghairah mendesak apa yang mereka kehendaki kerana parti itu bukan lagi mendominasi kerajaan.