Kuala Lumpur: “Kamilah pencetus (dua kumpulan) kepada band lain. Jangan menafikan mereka. Dah tua-tua jangan banyak masalah. Rezeki masing-masing,” kata Zua, pemain bass kumpulan XPDC berkenaan dua kumpulan XPDC yang berbeza.
Zua atau nama sebenarnya Azuar Md Tasi berkata, dia bersama Syed Ismail Syed Ibrahim atau Mael; pemain gitar, Jeffrizul Alias (Jeff) dan pemain dram, Suhaimi Abu Bakar (Amy) dikenali sebagai XPDC Kita Pengyu.
“Manakala kumpulan satu lagi ialah XPDC Militia. Seperti saya katakan, kami tak menafikan mereka. Kami tak boleh menidakkan mereka kerana mereka pun anggota XPDC sebelum ini yang bertukar ganti.
“Masing-masing ada peminat. Malah ada yang minat kedua-duanya. Peminat tegar kami dah faham,” katanya yang ditemui pada sidang media YOLO Live Sessions: 3 Generasi’ di Restoran Rebung semalam.
Bercerita pembabitan mereka, Zua seronok dan teruja dapat bercampur dengan band yang memainkan muzik lain.
“Sebelum ini kami banyak dengan genre metal tapi kali ini digabungkan dalam persembahan bersama Spider dan Noh Salleh.
“Secara tak langsung kami dapat kembangkan muzik kami kepada peminat mereka. Mungkin ada diantara peminat Spider dan Noh pernah dengar lagu kami, tapi tak pernah tengok kami beraksi. Inilah kelebihannya.
“Kali ini peminat fanatik setiap band dapat menyaksikan tiga genre muzik dalam satu persembahan,” katanya.
XPDC yang sebelumnya dikenali sebagai Raja Funfair gembira dapat beraksi di pentas serba moden iaitu
Zepp Kuala Lumpur, Bukit Bintang pada 27 Ogos ini.
“Perasaan kami sukar digambarkan. Dah pasti kami akan tampilkan kelainan dari segi arrangement muzik. Kami tahu sistem bunyi di situ sangat canggih.
“Memandangkan tempoh persembahan hanya 45 minit, kami akan tampilkan sekitar 10 hingga 12 lagu.
“Kalau boleh kami nak beraksi dengan persembahan lagu sahaja tanpa banyak bercakap,” katanya mewakili anggota lain.
Tiket konsert dijual dari harga RM288 hingga RM6,288 mengikut kategori.
Harian Metro