HAWANA 2025, Kenangan Istimewa Buat Wartawan – Terima Kasih Fahmi Fadzil

- Advertisement -

KUALA LUMPUR, — Suasana di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur Jumaat dan Sabtu ini bukan sekadar riuh dengan kehadiran pengamal media, tetapi dipenuhi rasa bangga dan syukur.

Bagi ramai wartawan, editor dan jurugambar yang hadir, HAWANA 2025 ia bukan sekadar satu lagi acara tahunan. Hawana kali ini menjadi satu kenangan istimewa yang menyentuh jiwa, melakar sejarah dan membawa harapan baharu kepada dunia kewartawanan negara.

Dengan tema “Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika”, edisi kali ini memberi fokus kepada cabaran serta masa depan industri media yang semakin dipengaruhi oleh kecerdasan buatan (AI). Forum-forum strategik diadakan seperti “AI & Media: Tool, Threat or Opportunity?” dan “Malaysian Media Council: Regulator or Media Protector?”

Kedua-dua forum menyaksikan pertembungan idea antara wartawan senior, pakar akademik, pemain industri, dan pihak regulator. Ia membincangkan persoalan utama: bagaimana memastikan kewartawanan terus bebas dan beretika dalam dunia yang serba automatik dan hiper-digital?

Hawana 2025 membawa mesej jelas d sebalik kesungguhan untuk mengadaptasi perkembangan teknologi, sisi manusiawi dan nilai luhur dalam profesion media harus terus dipertahankan.

Ini juga ingatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika merasmikan majlis penutup Hawana 2025 bahawa ketika kerajaan memberi kebebasan kepada media untuk amelaporkan ia bukan bermakna memberi kebebasan menyebarkan fitnah dan berita tidak benar.

Namun di sebalik ingatan tersebut, Perdana Menteri juga menunjukkan sikap terbuka dan mesra media apabila mengumumkan dana sebanyak RM30 juta bagi membolehkan organisasi dan pengamal media mengejar perubahan kecerdasan buatan (AI).

“Saya sebagai Perdana Menteri bertanggungjawab untuk memastikan mutu keupayaan penghasilan wartawan lebih baik, ini adalah antara inisiatif supaya tranformasi digital itu berlaku dengan bantuan dana kerajaan,” ucap Perdana Menteri.

Anugerah dan Ingatan

Hawana 2025 turut menobatkan Datuk Yong Soo Heong sebagai penerima Anugerah HAWANA 2025, anugerah tertinggi dalam acara tahunan ini.

Yong yang berusia 70 tahun merupakan wartawan veteran dengan hampir 50 tahun dalam industri media. Beliau memulakan kerjaya sebagai wartawan di dua akhbar tempatan di Pulau Pinang, iaitu The Star dan The Straits Echo sebelum menyertai BERNAMA pada 15 Ogos 1974.

Di BERNAMA, beliau telah memainkan pelbagai peranan termasuk memegang jawatan tertinggi seperti ketua pengarang dan pengurus besar selain bertanggungjawab menghasilkan buku panduan gaya penulisan (house style) bagi memastikan penghasilan berita yang seragam dan berkualiti oleh agensi berita rasmi negara itu.

Kini menjadi Presiden Institut Akhbar Malaysia (MPI), beliau terus menyumbang kepada perkembangan profesionalisme media negara.

Anugerah disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut disaksikan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil; Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Datuk Seri Wong Chun Wai; Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin serta Ketua Pengarang BERNAMA, Arul Rajoo Durar Raj yang juga Pengarah Projek HAWANA 2025.

Hawana 2025 juga mengenang Allahyarham Rozaid Rahman dengan Anugerah Khas HAWANA. Rozaid merupakan bekas Ketua Pengarang Sinar Harian dan Pengarah Komunikasi Strategik Pejabat Perdana Menteri meninggalkan legasi tersendiri dalam membina etika dan profesionalisme media semasa di Utusan Malaysia, The Star dan Sinar Harian.

Selain menghargai sumbangan besar pengamal media, Hawana di bawah pimpinan Fahmi Fadzil turut mengingati mereka yang dilindung musibah kesihatan

Kali ini Tabung Kasih@HAWANA telah menyampaikan sumbangan kepada tiga bekas pengamal media iaitu Penyunting Meja Berita The Star Ng Li Yiao, 56, (kanser payudara), Rusmin Fadzil, 62,(penyakit kulit thrombotic thrombocytopenic purpura atau TTP) dan bekas penyunting Makkal Osai Murugan Perumal,67.

Sejak dilancar pada sambutan HAWANA 2023 di Ipoh, Perak, Tabung Kasih@HAWANA memberi manfaat kepada 441 pengamal media seluruh negara dengan sumbangan melebihi RM1.2 juta.

Tabung Kasih@HAWANA diwujudkan sebagai inisiatif Kementerian Komunikasi yang dilaksanakan melalui Bernama, bagi menyantuni wartawan dan pengamal media, sama ada yang masih berkhidmat mahupun yang telah bersara, serta berdepan kesulitan kewangan.

Hawana 2025 penuh keistimewaan

Di sebalik tema kecerdasan buatan, Kementerian Komunikasi tidak meninggalkan adat budaya warisan bangsa. Kali pertama HAWANA telah mengadakan pertandingan pantun antara pengamal media melalui Pesta Pantun HAWANA-DBP yang yang dimenangi oleh Jabatan Pengisian Islam TV3, Media Prima Berhad megalahkan pasukan pantun Astro Radio News.

HAWANA 2025 turut menyaksikan pelancaran mini-dokumentari khas oleh Bernama TV yang sepenuhnya dihasilkan menggunakan teknologi AI. Tayangan ini menjadi simbol integrasi antara tradisi kewartawanan dan teknologi masa depan satu tema yang konsisten dengan seluruh pendekatan penganjuran kali ini.

Namun ketika dipenghujung, Fahmi Fadzil sekali lagi mengejutkan hadirin apabila mengumumkan persetujuan syarikat penerbangan Air Asia untuk memberi potongan 50% tambang penerbangan AirAsia ke 57 destinasi ASEAN bagi pengamal media Malaysia yang memiliki kad akreditasi JaPen.

Ia adalah langkah besar dalam mengiktiraf keperluan mobiliti dalam profesion media, serta mencerminkan kerjasama rentas sektor yang dicetuskan oleh Kementerian Komunikasi.

Menurut Fahmi AirAsia juga akan melancarkan pesawat dengan livery bertema media sebagai satu bentuk penghormatan simbolik kepada dunia kewartawanan negara.

Sememangnya cukup banyak untuk diceritakan keistimewaan Hawana 2025. Namun kenangan terindah tentulah kejayaan menghimpunkan lebih 1,000 pengamal media termasuk dari media antarabangsa seperti Al Jazeera, The Jakarta Post, MediaCorp dan CCTV, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai pusat perbincangan media serantau yang matang dan inklusif.

Bagi banyak wartawan yang telah lama berada dalam dunia media, HAWANA 2025 merupakan edisi terbaik sejak ia diperkenalkan, Ia bukan sahaja meraikan pencapaian, tetapi menyentuh perasaan dan memperkukuh solidariti dalam kalangan pengamal media.

Kejayaan ini tidak berlaku secara kebetulan. Ia lahir daripada visi jelas, perancangan rapi dan keprihatinan mendalam seorang menteri yang memahami denyut nadi industri Fahmi Fadzil, bukan sekadar Menteri Komunikasi, tetapi rakan strategik dunia media.

Terima kasih, Fahmi Fadzil!

author avatar
Jannah Jalidar
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat