Sasar 50 Peratus Institut Pendidikan Diiktiraf Institusi Hijau

- Advertisement -

KUANTAN – Pahang mensasarkan sekurang-kurangnya 50 peratus institusi pendidikan di negeri ini memperoleh pengiktirafan institusi hijau melalui Eco-School Pahang bagi tahun 2023 hingga 2030.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika mengumumkan pelan hala tuju Pahang Greening Education Partnership pada Selasa.

Baginda mengumumkan empat pelan hala tuju yang digariskan bertujuan memperkasakan generasi muda dengan ilmu berkenaan alam sekitar melalui pendidikan.

“Pelan hala tuju Pahag Greening Education Partnership ini bertujuan untuk memperkasakan generasi muda dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang diperlukan untuk menangani cabaran alam sekitar yang mendesak melalui pendidikan.

“Antara sasaran digariskan adalah Penghijauan Sekolah, sekurang-kurangnya 50 peratus daripada institusi pendidikan di Pahang diberi pengiktirafan sebagai sekolah atau institusi hijau setelah menamatkan program Eco-Schools dan Eco-Campus.

“Keduanya, sasaran Menghijaukan Pembelajaran iaitu 100 peratus sekolah yang mengikuti program Eco-Schools akan menerapkan pengintegrasian pendidikan perubahan iklim di dalam Kurikulum Kebangsaan, dan 100 peratus institusi pendidikan tinggi yang menjalani program Eco-Campus akan menawarkan kursus Pengurusan Pembangunan Mampan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Pelancaran Program Eco-Schools yang turut dihadiri Penaung Diraja Eco-Schools Pahang, Tengku Puteri Ilyana Al-Sultan Abdullah.

Turut hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Pahang, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Razak.

Baginda bertitah pelan ketiga pula melibatkan Menghijaukan Kapasiti dan Ketersediaan, manakala pelan keempat adalah Penghijauan Komuniti.

“Penghijauan Kapasiti dan Kesediaan adalah melalui guru besar atau pengetua dan sekurang-kurangnya dua orang guru dari setiap sekolah di Pahang mengikuti kursus Climate Change Education.

“Dan yang keempat, Penghijauan Komuniti, 100 peratus sekolah dalam kawasan FELDA yang terlibat dalam Eco-Schools Pahang menjadi pusat pendidikan pembangunan mampan komuniti,” titah baginda lagi.

Titah baginda, program Eco-Schools ini adalah program pendidikan untuk pembangunan mampan terbesar di dunia membabitkan lebih 95 negara dan 20 juta murid serta satu juta guru.

“Program Eco-Schools adalah elemen terpenting dalam menjayakan pelan hala tuju Greening Education Partnership atau GEP UNESCO menjelang tahun 2030.

“Program Eco-Schools juga merupakan platform terbaik bagi membentuk teladan serta peningkatan kesedaran dan perakuan isu-isu alam sekitar semasa melalui pembelajaran berasaskan projek.

“Konsep alam sekitar, sosial dan tadbir urus ESG yang telah saya titahkan selama ini juga diupayakan melalui pelaksanaan Program Eco-Schools. Prinsip-prinsip ESG diterapkan secara holistik dalam tujuh langkah Eco-Schools,” titah baginda.

Baginda dalam titah itu turut menyeru agensi negeri dan kerajaan Persekutuan untuk menyokong Program Eco-Schools, begitu juga sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan, organiasi antarabangsa, yayasan dan badan berkaitan untuk menyumbang tajaan serta berkongsi kepakaran.

“Marilah kita mempromosikan Program Eco-Schools Pahang sebagai sebahagian daripada program jangkauan mereka sekaligus menyumbang kepada tunjang ESG tanggungjawab sosial korporat (CSR) masing-masing.

“Pastikan program ini sampai ke setiap pelosok negeri kita. Dan Eco-Schools Pahang merupakan usaha yang bergerak seiring dengan usaha saya dalam menyelamatkan Harimau Malaya melalui pembentukan kesedaran para remaja tentang kepentingan alam sekitar sebagai habitat Harimau Malaya yang semakin diancam kepupusan,” titah baginda.

Program Eco-Schools Pahang ini adalah hasil kerjasama Green Growth Asia Foundation selaku penganjur yang mendapat sokongan penuh kerajaan negeri, Jabatan Pendidikan Negeri dan Yayasan Pahang.

 

author avatar
Nik Syukri Ramli
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat