Peningkatan Kes Covid-19 Kluster Tempat Kerja Membimbangkan – Dr Noor Hisham

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,328 kluster tempat kerja dilaporkan sehingga hari ini membabitkan 624,246 individu disaring dengan 147,040 kes dikesan positif Covid-19 menjadikan kadar positiviti sebanyak 23.6 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, walaupun trend kes mingguan di Malaysia menunjukkan penurunan dalam tempoh dua minggu ini, namun kluster tempat kerja terus menyumbang kepada pertambahan kluster-kluster baharu.

“Kebanyakan kes positif yang dilaporkan dalam kategori kluster tempat kerja ini terdiri daripada bukan warganegara iaitu sebanyak 100,086 kes atau 68 peratus berbanding warganegara iaitu 46,954 kes (32 peratus).

“Sektor pengilangan melaporkan jumlah kes tertinggi dalam kategori kluster tempat kerja dengan 95,156 kes membabitkan 639 kluster,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, empat daripada lima kluster aktif tertinggi direkodkan membabitkan tempat kerja adalah berkaitan kategori pengilangan.

“Kluster Jalan Tiga Salak Tinggi yang dilaporkan di Selangor mencatatkan jumlah tertinggi dengan 873 kes, Kluster Industri Senawang di Negeri Sembilan (752 kes) dan Kluster Industri Batu Berendam di Melaka (641 kes).

“Selain itu, Kluster Jalan Padang Tembak dilaporkan di Kelantan dan Terengganu merekodkan 598 kes, manakala Kluster Tok Has di Terengganu mencatatkan 541 kes,” katanya.

Beliau berkata, usaha berterusan oleh majikan dalam menjalankan ujian saringan terhadap pekerja amat dihargai sebagai langkah awal bagi membendung penularan jangkitan di tempat kerja.

“Kementerian menetapkan pelbagai garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) di tempat kerja seperti penjarakan fizikal, mengehadkan jumlah pekerja hadir ke tempat kerja dan sebagainya.

“Bagaimanapun, didapati tahap kesedaran berkenaan kepentingan pelaksanaan SOP terbabit masih perlu dipertingkatkan.

“Masyarakat khususnya majikan dan pekerja perlu menyedari bahawa kepatuhan kepada garis panduan adalah untuk kebaikan mereka sendiri,” katanya.

Katanya, terdapat juga segelintir masyarakat yang hanya mengambil berat berkenaan pematuhan SOP apabila terdapat penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan.

“Kelekaan inilah yang banyak mengundang kepada peningkatan kes Covid-19 terutama di tempat kerja.

“Justeru, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berpendapat penguatkuasaan SOP di tempat kerja wajar dipertingkatkan dalam usaha untuk terus mengekang penularan jangkitan,” katanya. – Hmetro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat