35 Pesakit Covid-19 Pulih, 8 Jangkitan Baru dan Satu Kematian Hari Ini – KKM

- Advertisement -

Kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 dalam negara buat pertama kali mencatatkan angka kurang daripada 1,000 kes sejak 21 Mac, empat hari selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Hari ini, tinggal 986 kes membabitkan pesakit positif dengan kebolehjangkitan Covid-19 susulan pertambahan 35 kes yang pulih dan dibenarkan discaj dari fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Untuk rekod, kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 ketika PKP dilaksanakan pada 18 Mac lalu merekodkan 728 kes dan tertinggi direkodkan pada 5 April dengan 2,596 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan 35 kes yang pulih dicatatkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya daripada Covid-19 dan discaj dari wad sebanyak 7,346 kes, 86.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Beliau berkata, sehingga 12 tengah hari ini, hanya lapan kes baharu yang dilaporkan menjadikan jumlah kes positif Covid-19 dalam negara sebanyak 8,453 kes.

“Ingin dimaklumkan daripada lapan kes baharu yang dilaporkan, dua kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara membabitkan bukan warganegara pemastautin tetap.

“Daripada enam kes penularan di dalam negara, empat kes adalah bukan warganegara, manakala dua kes dalam kalangan warga Malaysia,” katanya pada sidang media harian berkaitan Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kesemua empat kes jangkitan dalam negara dalam kalangan bukan warganegara membabitkan Kluster Tapak Pembinaan Kuala Lumpur 2.

“Perincian kes penularan Covid-19 dalam negara dalam kalangan warga Malaysia pula adalah membabitkan satu kes saringan klinikal kes Influenza Like Illness (ILI) di Bintulu, Sarawak dan satu kes saringan pusat jagaan warga emas di Melaka Tengah.

“Sehingga kini, sebanyak empat kes positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, satu kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), setakat 12 tengah hari ini.

Katanya, ia menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat jangkitan wabak berkenaan dalam negara ketika ini 121 kes, 1.43 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Kes kematian ke-121 (kes ke-7,468) membabitkan lelaki warga India (orang kena tahan (OKT) di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil berusia 67 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung serta penyakit buah pinggang.

“Beliau didapati tidak sedarkan diri di DTI Bukit Jalil dan segera dibawa ambulans ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Beliau disahkan meninggal dunia pada 12 Jun (kelmarin). Saringan ujian Covid-19 didapati positif dan keputusan penuh bedah siasat masih dalam proses,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat