Tindakan mungkir janji Norway batal lesen eksport peluru berpandu berpotensi hilangkan nilai rakan strategik – Anwar bantah keras

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyampaikan bantahan keras Malaysia dalam perbualan telefon dengan Perdana Menteri Norway Jonas Gahr Støre mengenai keputusan unilateral dan tidak boleh diterima.

Hal ini apabila Norway untuk membatalkan lesen eksport sistem Peluru Berpandu Tentera Laut (NSM) dan sistem pelancar yang berkaitan dengannya, kononnya untuk melindungi keselamatan Norway.

“Kontrak yang dimeterai adalah dokumen yang suci dan mengikat. Ia bukan sekadar cebisan kertas yang boleh diperlakukan sesuka hati. Jika pembekal pertahanan Eropah merasakan mereka berhak mungkir daripada perjanjian tanpa sebarang akibat, maka nilai mereka sebagai rakan strategik akan lenyap sama sekali,” katanya
dalam perbualan telefon dengan rakan sejawatnya.

Anwar menegaskan Malaysia sebenarnya memenuhi setiap komitmennya secara teliti berdasarkan kontrak dimeterai sejak 2018, tanpa sebarang kesangsian.

“Malaysia sudah memenuhi setiap obligasi di bawah kontrak ini sejak 2018 dengan penuh teliti, setia dan tanpa sebarang keraguan. Namun, Norway nampaknya tidak merasakan perlu untuk membalas dengan penghormatan dan iktikad baik yang sama.

“Saya menegaskan bahawa keputusan ini akan memberi kesan serius terhadap kesiapsiagaan operasi pertahanan Malaysia dan program pemodenan Kapal Tempur Pesisir (LCS). Ia juga pasti membawa implikasi lebih luas terhadap keseimbangan strategik serantau,” tegas Perdana Menteri.

Terdahulu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memberitahu beliau akan bertemu rakan sejawatnya dari Norway di Singapura akhir bulan ini bagi mendapatkan penjelasan berhubung keputusan mengejut kerajaan negara itu menyekat lesen eksport NSM kepada Malaysia.

Khaled berkata, pertemuan itu juga akan digunakan untuk menyatakan kekesalan dan rasa terperanjat Kerajaan Malaysia terhadap tindakan Norway yang membatalkan penghantaran aset berkenaan, hanya beberapa hari sebelum tarikh yang dijadualkan pada Mac lalu.

Kementerian Luar Norway dilaporkan menarik balik beberapa lesen eksport berkaitan teknologi tertentu sebagai sebahagian daripada usaha memperketat kawalan eksport negara itu.

Menurut laman web syarikat Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA), perolehan NSM dimeterai antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan KDA pada April 2018 dengan nilai kontrak 124 juta euro (RM571.9 juta) bagi melengkapkan enam kapal LCS baharu.

Peluru berpandu itu berkeupayaan melaksanakan serangan maritim jarak jauh pada kelajuan subsonik tinggi dengan jarak melebihi 300 kilometer.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat