GERIK – Polis mengesahkan tiada unsur kecuaian dalam kemalangan yang mengorbankan seekor anak gajah jantan di Kilometer 80 Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, awal pagi Ahad lalu.
Memetik Bernama, Ketua Polis Daerah Gerik, Supt Zulkifli Mahmood berkata siasatan awal mendapati kawasan kejadian berkabus tebal dan tidak mempunyai pencahayaan lampu jalan ketika kejadian berlaku sekitar jam 2.50 pagi.
Beliau menjelaskan bahawa anak gajah tersebut melintas secara tiba-tiba sebelum dirempuh sebuah lori kontena yang membawa muatan ayam, dipandu seorang lelaki berusia 28 tahun.
Kejadian menyayat hati itu menjadi tular di media sosial apabila video menunjukkan seekor ibu gajah cuba mengalihkan lori berkenaan dan enggan berganjak dari lokasi kemalangan selama lebih lima jam.