KUALA LUMPUR- Masalah utama Umno kini ialah krisis identiti yang sangat mendalam, kata Shahril Hamdan.
Bekas Ketua Penerangan Umno itu berpendapat, Umno yang wujud hari ini hilang DNA dan sudah tidak ada apa-apa ciri unik untuk ‘dijual’ kepada rakyat.
“Berbeza dengan parti-parti lain yang tahu apa yang dia nak jual, tahu DNA dia tapi DNA Umno sudah tidak jelas, apa DNA dia?
“Untuk PAS kita tahu apa yang dia jual, apa yang dia tawarkan kepada rakyat, feeling, emotional connection PAS itu walaupun tidak disebut atas kertas atau manifesto tapi bila kita pangkah PAS itu kita tahu sentimen dia apa.
“DAP pun sama walaupun mereka kata kita hormat Perlembagaan tapi DAP adalah satu parti yang menjadi simbol kepada perubahan, kepada Malaysia yang lebih saksama. PKR tentang keadilan, sekarang ini Umno apa? soal Shahril dalam audio siar Keluar Sekejap yang dimuat naik pada Selasa.
Beliau mempersoalkan, adakah Umno parti memperjuangkan hak-hak Melayu seperti mana selama ini diiklankan bila berada bersama Pakatan Harapan (PH) dan DAP.
Menurut Shahril, DNA itu susah untuk dijual dan sudah ada alternatif kepada mereka yang mengundi berasaskan hak Melayu iaitu Perikatan Nasional (PN) maka sokongan akan menjirus ke situ.
“Jadi kalau sekarang Umno tiba-tiba nak berpaling kepada satu politik Melayu moderat yang kita selama ini suka pun agak sukar.
“… sebab mereka tidak ada personel dalam Umno untuk buat perkara itu, saya rasa tanpa orang macam KJ, Hishammuddin, orang yang betul-betul boleh bawa ataupun menjadi individu yang menjual politik moderat Melayu apa yang anda ada sekarang ialah pimpinan Umno yang sedia ada tanpa saya sebut nama susah untuk menjual politik moderat,” kata Shahril lagi.
Mengulas lanjut, Shahril menyatakan Umno kini sudah berada dalam PH yang moderat politik Melayu itu sudah dibolot oleh PKR.
Jadi katanya, susah untuk Umno untuk cari dan jual apakah DNA partinya.
“Maka apa yang ada ialah usaha menunjukkan bahawa YB-YB Umno ini yang paling servis kawasan, paling bagus, tapi saya masih rasa itu tidak cukup untuk sesebuah parti, itu bukan satu strategi yang sustainable, itu boleh membawa kemenangan di sesetengah tempat tetapi sebagai satu politik nasional saya rasa Umno is finished from national party.
“Selagi perkara asas ini yang iaitu DNA Umno tidak dapat diceritakan, tidak dapat dijual dan ditawarkan dengan satu perkara yang jelas saya rasa trend itu akan berterusan.
“Selain daripada krisis identiti Umno ialah the moral core of Umno. Saya mengharapkan bahawa ada kesedaran dan kemahuan untuk memiliki kesalahan dan kegagalan iaitu Umno ada isu yang berkaitan dengan rasuah bukan individu ini berbalik kepada pemimpin-pemimpin lama pun dan Umno tak pernah pun betul-betul duduk dan mengatakan ya kita ada salah, kita ada sesuatu yang tak betul oleh yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin kita dan imej bahawa rasuah dan kesalahan ada dengan Umno itu bukan fitnah semata-mata. Bahawa ada kebenaran di situ dan kita minta maaf, tak ada pun,” ujar beliau lagi.