Tun M berjaya batal saman Halim Saad, dakwaan Renong rugi selepas kerajaan arah jual saham

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Tun Dr Mahathir Mohamad bersama dua yang lain, berjaya membatalkan saman difailkan Tan Sri Halim Saad, berhubung dakwaan tokoh korporat itu mengalami kerugian selepas diarahkan kerajaan menjual saham miliknya dalam Renong Bhd kira-kira 23 tahun lalu.

Saman itu difailkan Halim yang juga bekas Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Renong terhadap Dr Mahathir; bekas Menteri Kewangan II, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan kerajaan, pada 2 Ogos tahun lalu.

Dalam keputusan Mahkamah Tinggi hari ini, Pesuruhjaya Kehakiman Dr Suzana Muhamad, membenarkan permohonan ketiga-tiga pemohon membatalkan saman itu selepas mendapati satu lagi kes saman difailkan Halim sebelum ini terhadap Khazanah Nasional Berhad, Nor Mohamed dan kerajaan pada tahun 2013, membabitkan isu sama, sudah diputuskan mahkamah.

Katanya, oleh itu apa sahaja isu yang ada, prinsip res judicata (prinsip bahawa kausa tindakan tidak boleh dikemukakan semula antara pihak sama apabila ia sudah dinilai berdasarkan merit) dan alasan tempoh had masa adalah terpakai.

“Ada sebab mengapa ada batasan (dalam had masa). Ia adalah untuk menghentikan sebarang kausa tindakan yang tidak perlu, terutamanya selepas melepasi tempoh masa.

“Bagi saya, peristiwa ini adalah pada tahun 2001 dan sudah lebih daripada 20 tahun. Begitu juga mengambil kira fakta bahawa tuntutan di mahkamah (lain) pada 2013, dan hanya lebih 10 tahun, kes ini dibawa ke mahkamah,” katanya memetik laporan BH pada Selasa.

Suzana turut memerintahkan Halim membayar kos sebanyak RM10,000.

Ketiga-tiga pihak itu selaku defendan memohon perintah supaya writ dan pernyataan tuntutan Halim sebagai plaintif dibatalkan dengan kos mengikut Aturan 18 Kaedah 19(1)(b) dan (d) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

Alasan yang diberikan ialah tuntutan saman terbabit adalah remeh, menyusahkan dan satu penyalahgunaan proses mahkamah.

Dalam prosiding itu, ketiga-tiga pemohon diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly, manakala peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar Surendra Ananth bertindak bagi pihak Halim selaku responden.

Pada 31 Oktober, 2013, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Khazanah, Nor Mohamed Yakcop dan kerajaan untuk membatalkan saman Halim kerana difailkan selepas tempoh had masa enam bulan mengikut Akta Had Masa 1953, dan keputusan itu dikekalkan Mahkamah Rayuan.

Halim menerusi saman pada Ogos tahun lalu, pula berkata tuntutan beliau berdasarkan pelanggaran haknya oleh Kerajaan Malaysia ketika diarahkan Dr Mahathir dan Nor Mohamed untuk tidak meneruskan pemerolehan 32.69 peratus dalam Renong Berhad daripada United Engineers Malaysia Berhad (UEM).

Ia menurut Opsyen Jual yang dilaksanakan ke atasnya oleh UEM pada Disember 2000.

Ketika itu, Dr Mahathir atas kapasiti sebagai Perdana Menteri dan Nor Mohamed pula sebagai Penasihat Ekonomi Khas kepada Perdana Menteri.

Halim berkata, pada masa material, Renong memegang 37.92 peratus saham UEM dan beliau pemegang saham individu tunggal terbesar dan mengawal Renong.

Katanya, beliau berniat membuat tawaran am ke atas UEM, sama ada melalui Renong atau bersama Renong untuk menswastakan UEM sebagai anak syarikat Renong yang akan membolehkan beliau memperoleh kawalan dan milikan penuh ke atas UEM melalui Renong.

Beliau mendakwa, diarahkan Dr Mahathir dan Nor Mohamed secara langsung supaya tidak meneruskan tawaran am kerana kerajaan ingin mengambil semua saham dalam UEM melalui Khazanah atau pihak yang akan dicalonkan oleh Khazanah.

Halim dengan itu, memohon perisytiharan, antaranya beliau pemegang saham Renong dan bukannya Umno, selain mendakwa kerajaan melanggar Perkara 8 (1) atau Perkara 13 (2) Perlembagaan Persekutuan kerana gagal memberikan pampasan memadai kepadanya.

Beliau juga memohon perintah supaya kerajaan membayar pampasan kepadanya dan menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan atau teruk, faedah, kos atau relif yang sesuai oleh mahkamah.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat