Oleh Zihan Zari
KUALA KEDAH – Bagi memajukan industri perikanan, komponen sokongan kemudahan peralatan tangkapan ikan, tempat pembaikan bot (Slipway) atau limbungan (dockyard/shipyard) penting selain dapat menjimatkan kos nelayan untuk membaiki bot.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Slipway milik Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Kedah di sini pada Isnin.
Muhammad Faiz berkata, Slipway ini adalah yang ke-6 di bawah LKIM selain di Kuantan,Tumpat, Besut dan Pengkalan Arang.
Ianya dibina dan diuruskan oleh PNK Kuala Kedah, menggunakan peruntukan persatuan nelayan sendiri
dengan kos sebanyak RM4.6 juta bagi urusan membaiki bot terutama bot nelayan yang mengandungi komponen Slipway, cradle dan tempat pertukangan.
Menurutnya, Slipway ini akan memberi manfaat kepada nelayan setempat dan tidak perlu lagi mencari pihak swasta untuk membaiki bot mereka.
Pihaknya sedang meneliti keperluan dan telah mengenal pasti di beberapa kawasan berhampiran Kompleks LKIM untuk menambah slipway baharu namun memerlukan modal besar melibatkan kos kewangan selain kemahiran dan kakitangan.
Beliau turut menyarankan supaya tenaga mahir muda tempatan lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dapat dikhususkan untuk memenuhi keperluan dalam industri perikanan
Ketika ditanya pemberita, mengenai laporan media kes dua lelaki ditahan polis ketika cuba memindahkan minyak diesel bersubsidi dari sebuah treler milik PNK Kuala Kedah ke dalam dua lori di Bedong, bulan lalu.
Ulasnya, tiada lagi pembelian pukal diesel dalam kalangan nelayan bagi mengelakkan ketirisan dan mengekang penyeludupan bahan subsidi itu.
“LKIM akan melakukan penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) bagi pembelian diesel bersubsidi, ”ulasnya lagi.
Sebelum itu, beliau turut menyampaikan sumbangan sampan fiber percuma bernilai RM15,000 dan sebuah mesin menarik pukat (winch) bernilai RM6,000.
Selain itu, sumbangan sebanyak dua buah enjin 40 kuasa kuda kepada nelayan aktif tetapi daif yang enjinnya telah rosak bagi membantu meneruskan aktiviti perikanan.
Manakala 15 orang nelayan turut menerima pukat sebanyak 6 set daripada LKIM.
Ujarnya, pemberian touch point ini bagi mendorong nelayan untuk lebih aktif meningkatkan hasil tangkapan ikan bagi memastikan bekalan ikan yang cukup dan terjamin kepada rakyat.
“Kepedulian LKIM dan kerajaan perpaduan berasaskan agenda Malaysia Madani kepada golongan nelayan akan terus disuburkan, ”ujarnya lagi.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah LKIM (Pengurusan), Hjh. Zarina Abd Latif; Pengarah LKIM Kedah, Mohd Fauzi Ghazali ; Pengarah Bahagian Pemasaran & Pelesenan LKIM, Dr. Hj. Abdul Salim Tajudin, Pengurus PNK Kuala Kedah, Ahmad Mohd Jaeh dan Pengerusi AMANAH Kedah, Asmirul Anuar Aris. – SUARA.TV