Filem pendek ‘Jam Misteri Atuk’ angkat nostalgia kampung dan nilai kekeluargaan generasi kini

Dalam era moden yang semakin pantas, sebuah filem pendek terbaharu daripada Avaris Studio berjudul ‘Jam Misteri Atuk’ tampil membawa penonton kembali menghargai nilai kekeluargaan dan nostalgia kehidupan kampung yang kian dilupakan.

Filem arahan Ali Irman Bahrudden ini bukan sekadar kisah misteri perjalanan masa, tetapi turut mengetengahkan tradisi keluarga Melayu yang semakin jarang diamalkan oleh generasi muda, khususnya menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Antara tradisi yang dipaparkan dalam filem ini ialah penyediaan ketupat bersama ahli keluarga di kampung, satu aktiviti yang dahulunya menjadi simbol kebersamaan menjelang sambutan perayaan.

Menurut Ali Irman, elemen tersebut sengaja dimasukkan bagi mengingatkan penonton tentang pentingnya menghargai masa bersama keluarga sebelum ia menjadi kenangan.

“Banyak perkara yang kita anggap biasa ketika kecil sebenarnya sangat bermakna. Melalui filem ini, saya mahu penonton kembali mengimbau memori bersama datuk, nenek dan keluarga di kampung,” katanya.

‘Jam Misteri Atuk’ mengisahkan seorang cucu perempuan yang masih merindui arwah datuknya. Kehidupannya berubah apabila dia menemui jam tangan lama milik datuknya yang secara misteri membawanya kembali ke masa lalu. Pengalaman itu memberi peluang kepadanya untuk bertemu semula dengan datuknya serta memahami nilai sebenar masa dan kenangan bersama orang tersayang.

Filem pendek ini turut dibintangi barisan pelakon seperti Azhar Amir, Aleza Shadan, Syafiq Dharma, Wafariena Roslan, Kiky Hannah dan Aidern Shafiy.

Penggambaran filem ini dijalankan selama dua hari di sekitar Hulu Langat, yang dipilih kerana suasana kampungnya yang masih mengekalkan keindahan alam dan kehidupan tradisional.

Sementara itu, pelakon Syafiq Dharma turut berkongsi bahawa filem ini memberi kesan emosi mendalam kepadanya kerana jalan ceritanya mengingatkan tentang kehilangan arwah bapanya, pelakon veteran Dharma Harun Al Rashid.

“Ada satu babak saya menangis apabila terkenangkan arwah bapa. Emosi itu datang secara semula jadi kerana saya benar-benar mengingati saat kehilangan tersebut,” katanya.

‘Jam Misteri Atuk’ telah mengadakan tayangan perdana eksklusif pada 13 Mac lalu di 10Stars Cinemas Hextar World, Empire City Mall sebelum turut ditayangkan kepada umum menerusi saluran YouTube rasmi Avaris Studio MY dan bakal disiarkan di Awesome TV.

Melalui pendekatan penceritaan yang sarat dengan emosi dan elemen tradisi, filem pendek ini diharap mampu mengingatkan penonton bahawa masa bersama keluarga adalah kenangan paling berharga yang tidak boleh diputar kembali.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat