KUALA LUMPUR, – Perikatan Nasional (PN) hari ini mengumumkan pelantikan barisan kepimpinan parti bagi tahun 2026 selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi PN kali pertama tahun ini diadakan di Ibu Pejabat Parti Gerakan, Cheras.
Mesyuarat yang bermula jam 11 pagi itu dipengerusikan Pengerusi PN, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan dihadiri semua Ahli Majlis Tertinggi yang mewakili parti komponen gabungan tersebut iaitu Bersatu, PAS, Gerakan dan MIPP.
Dalam kenyataan media, Ahmad Samsuri berkata agenda utama mesyuarat adalah pemilihan dan pelantikan pegawai-pegawai parti selaras dengan Fasal 8.2 dan Fasal 8.3 Perlembagaan Perikatan Nasional.
Beliau memaklumkan jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri PN akan diputuskan dalam mesyuarat akan datang selepas beliau selesai mengadakan lawatan kerja ke semua negeri selepas Hari Raya Aidilfitri.
Menurutnya, mesyuarat turut memutuskan bahawa jawatan Ketua Pembangkang di Parlimen Malaysia akan dipegang oleh seorang Ahli Parlimen daripada PAS. Bagaimanapun, nama individu berkenaan hanya akan diumumkan sebelum penghujung Mac ini.
Selain itu, mesyuarat turut membincangkan persiapan gabungan berkenaan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.
Dalam pelantikan yang diumumkan, Ahmad Samsuri kekal sebagai Pengerusi PN manakala Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai, Punithan Paramsiven dan Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man dilantik sebagai Timbalan Pengerusi.
Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilantik sebagai Setiausaha Agung dengan tiga Timbalan Setiausaha Agung iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Wong Chia Zhen dan Dato’ Sivakumar Krishnan.
Tan Sri Annuar Musa pula dilantik sebagai Ketua Penerangan manakala Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin memegang jawatan Pengarah Pilihan Raya.
Jawatan Bendahari Agung diberikan kepada Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Bagi sayap parti, Dato’ Nolee Ashilin Mohammed Radzi dilantik sebagai Ketua Wanita, manakala Ketua Pemuda dipegang oleh Afnan Hamimi Taib Azamuddeen. Haji Zaidy Abdul Talib pula dilantik sebagai Pegawai Awam parti.
Pelantikan ini dilihat sebagai langkah penyusunan semula struktur kepimpinan PN dalam usaha memperkukuh gabungan itu menjelang beberapa pilihan raya negeri yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat.



