Mahdzir Dakwa Sanusi Resah Pengaruh UMNO, Pertikai Kritikan Terhadap Rumah Bangsa

ALOR SETAR – Pengerusi Badan Perhubungan United Malays National Organisation (UMNO) Kedah, Mahdzir Khalid mendakwa tindakan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang sering mengkritik UMNO mungkin berpunca daripada kegusaran terhadap pengaruh parti itu.

Memetik laporan Berita Harian Online, Mahdzir berkata kenyataan Sanusi yang menyifatkan gagasan Rumah Bangsa sebagai usaha UMNO untuk kembali menjadi ‘abang besar’ dalam politik Melayu menunjukkan kecenderungan beliau memainkan sentimen kebencian berbanding usaha ke arah penyatuan.

Menurut Mahdzir, gagasan Rumah Bangsa yang dicadangkan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi sebenarnya bertujuan menghimpunkan kembali bekas ahli parti itu agar kembali bersama perjuangan UMNO.

“Ia juga bertujuan menjadikan Rumah Bangsa sebagai satu mekanisme penyatuan Melayu serta platform perbincangan mengenai isu berkaitan kepentingan orang Melayu, hasratnya untuk menghimpunkan kembali orang Melayu di bawah satu gabungan penyatuan.

“Pertama sekali ia membabitkan ahli UMNO sendiri sama ada yang berhenti, keluar parti, dipecat, digantung atau merajuk supaya kembali semula ke dalam satu perjuangan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis moreh bersama pengamal media di Alor Setar, malam tadi.

Mahdzir yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) menjelaskan, Rumah Bangsa turut berperanan sebagai ruang untuk membincangkan pelbagai isu melibatkan kepentingan orang Melayu.

“Isu seperti pendidikan, hak Bumiputera atau undang-undang berkaitan pembangunan boleh dibincangkan di situ.

“Jadi kenapa Sanusi hendak perli dan mengulas perkara itu sedangkan ia hanya inisiatif sebuah parti untuk menjemput dan berbincang,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut menegur sikap Sanusi yang menurutnya sering mengeluarkan kenyataan menyerang pihak lain.

“Saya sebenarnya jarang bercakap mengenai Sanusi, tetapi beliau sudah terlalu banyak mengeluarkan kenyataan yang menyerang orang lain.

“Dia seolah-olah ego dan berasakan dirinya terlalu kuat serta tidak boleh dikalahkan di Kedah sehingga bebas memperli dan memaki orang,” katanya.

Mahdzir turut mengulas dakwaan Sanusi sebelum ini yang mengatakan UMNO akan mencari sokongan Melayu ketika terdesak dan mendekati Democratic Action Party (DAP) ketika berada dalam keadaan selesa.

“Beliau (Sanusi) sebenarnya meludah ke langit, tetapi terkena muka sendiri, Sanusi jangan buat-buat lupa bahawa parti PAS lah sebenarnya yang bersekongkol dengan menjalin kerjasama erat dengan DAP suatu ketika dahulu demi meraih undi orang Melayu untuk berkuasa,” katanya.

Terdahulu, Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Pusat dan Perikatan Nasional dilaporkan menyifatkan cadangan penubuhan sekretariat Rumah Bangsa Malaysia oleh UMNO sebagai usaha parti itu untuk mengukuhkan semula kedudukan dalam politik Melayu.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat