Xavier Pernah Dakwa ‘Menteri Kanan’ Paksa Sokong PN, Atau Berdepan Tindakan – Saifuddin Nasution

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan Datuk Dr Xavier Jayakumar mengumumkan keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR), mengukuhkan lagi dakwaan ada usaha tersusun oleh kerajaan minoriti untuk menarik sokongan ahli-ahli parlimen pembangkang.

Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, usaha itu termasuklah dengan cara umpan dan ugutan, menggunakan agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Bharu itu berkata, Xavier pernah memaklumkan kepada pimpinan PKR sebelum ini, mendakwa dirinya menjadi sasaran SPRM.

“Dr Xavier baru-baru ini telah bertemu pimpinan Keadilan (PKR) memaklumkan bahawa pihak SPRM menjadikan beliau sasaran siasatan, setelah SPRM sebelumnya menahan setiausaha politik, pembantu peribadi dan beberapa kenalan beliau berkait satu kes yang sedang berjalan.

“Dr Xavier kemudiannya dihubungi seorang menteri kanan yang menyatakan beliau perlu menyokong Perikatan Nasional atau hadapi akibat yang serius,” kata Saifuddin dalam satu kenyataan hari ini.

Awal hari ini, Dr Xavier mengumumkan peletakan jawatan sebagai Naib Presiden dan ahli PKR, parti yang dianggotainya sejak 1998.

Menerusi satu kenyataan yang dimuatnaik di laman media sosialnya, Ahli Parlimen Kuala Langat itu menyatakan rasa tersangat kecewa dengan beberapa perkara yang terjadi sejak tahun lepas.

Dengan peletakan jawatan itu, Dr Xavier berkata, beliau kini merupakan Ahli Parlimen Bebas yang menyokong kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Kerajaan Perikatan

Mengulas lanjut, Saifuddin mendakwa, hal yang berlaku sekarang adalah, instrumen pemerintah termasuk SPRM sedang diperguna ahli politik kanan dalam pentadbiran Perikatan Nasional untuk mengalih sokongan Ahli Parlimen Pakatan Harapan dan pembangkang kepada Perikatan Nasional.

Tindakan itu, tegasnya lagi, adalah satu bentuk salahguna kuasa, terutama tatkala disedari ada antara isu rasuah dan salahguna kuasa yang lain seperti tidak diambil tindakan oleh pihak berwajib.

“Amatlah jelas kerajaan minoriti hari ini berlapik dengan alasan darurat dan menggantung Parlimen sambil pada masa sama berusaha mendapatkan sokongan lebih ramai Ahli Parlimen dengan cara menggunakan agensi-agensi tertentu melalui taktik umpan habuan, tekanan dan ugutan.

“Sebagai seorang yang lama mengenali Dr Xavier Jeyakumar – Tindakan dan alasan-alasan beliau dalam kenyataan hari ini menimbulkan pelbagai tanda tanya. Namun yang membezakan reformis tulen dengan yang lain ialah tahan diuji pada masa senang dan sukar,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Saifuddin berkata, beliau ingin mengulangi gesaan agar semua Ahli Parlimen PKR terus berpegang kepada prinsip dan landasan perjuangan reformasi tanpa tunduk dengan umpan habuan dan ugutan.

PKR dan Pakatan Harapan, katanya lagi, akan kekal dengan hala tuju mempertingkat persiapan menuju PRU15, dan pada masa yang sama berusaha mengembalikan mandat rakyat, sesuai kerangka undang-undang dan perlembagaan

– Astro Awani

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat