CYBERJAYA – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menegaskan komitmen kerajaan untuk memastikan isu tempat ibadat yang dibina tanpa kelulusan sah diselesaikan secara berhemah tanpa menjejaskan keharmonian negara.
Dalam hantaran di Facebook rasminya, beliau memaklumkan sempat hadir bersama masyarakat Hindu yang meraikan perayaan Pongal di Tanjung Rambutan, Perak.
Menurutnya, Malaysia mesti terus kekal aman dengan menjunjung kedaulatan undang-undang dalam setiap penyelesaian isu.
“Negara ini mesti terus aman dan menjunjung kedaulatan undang-undang, dan segala permasalahan memerlukan penanganan secara berhemah, bukan dengan terus memicu pertelingkahan,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa seperti beberapa isu warisan lain yang telah diselesaikan oleh Kerajaan MADANI sebelum ini, isu berkaitan tempat ibadat yang dibina secara tidak sah juga akan ditangani dengan berani, bijaksana dan tuntas.
Anwar menegaskan pendekatan kerajaan adalah memastikan penyelesaian dicapai tanpa mengorbankan keamanan serta keharmonian yang telah lama terbina dalam masyarakat majmuk negara ini.
Kenyataan tersebut dilihat sebagai usaha meredakan ketegangan berhubung isu sensitiviti agama dan perundangan yang sering menjadi polemik dalam masyarakat.



