Bekas Ketua Hakim Negara ketuai RCI siasat kes Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif, dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Untuk Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) melalui kenyataan berkata pelantikan dibuat selepas penubuhan RCI yang turut dianggotai enam pesuruhjaya lain mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Ia membabitkan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Zainun Ali selaku Timbalan Pengerusi, selain lima ahli terdiri pengamal undang-undang, Datuk Dr Baljit Singh Sidhu; bekas Dekan Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya, Prof Dr Johan Shamsuddin Sabaruddin; Pakar Undang-Undang Perlembagaan dan Undang-Undang Pentadbiran, Prof Datin Dr Faridah Jalil; Pegawai Kewangan Negeri Johor, Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir dan Pengarah Laut Wilayah Selatan di Jabatan Laut Malaysia, Dickson Dollah.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said bersama Ketua Pengarah BHEUU, Zamri Misman menghadap dan menyembah maklum tentang cadangan penubuhan RCI berkenaan selaras Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 [Akta 119].

Kerajaan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi penubuhan RCI Untuk Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan berkuat kuasa serta-merta.

Seri Paduka Baginda turut memperkenan pelantikan tujuh Pesuruhjaya RCI terbabit dengan Ketua Pengarah BHEUU turut dilantik sebagai Setiausaha, manakala BHEUU bertindak sebagai urus setia.

Sebelum ini, timbul pertikaian mengenai hasrat kerajaan untuk menubuhkan RCI Untuk Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan terutama dari segi motif.

Bagaimanapun Azalina menegaskan penubuhan RCI berkenaan bertujuan mengkaji isu pengendalian kes Batu Puteh untuk membolehkan siasatan lanjut dibuat bagi menilai apa yang berlaku ketika kes itu dikendalikan pentadbiran kerajaan terdahulu.

Beliau berkata sebelum ini sudah ada pasukan petugas yang melihat isu itu, namun ada kekangan dihadapi oleh pasukan itu untuk menyiasat lebih lanjut.

Berikutan itu, katanya RCI dicadangkan ditubuhkan oleh pasukan petugas berkenaan bagi menyiasat perkara terbabit dan atas sebab itu, keputusan dibuat bagi membentuk sebuah RCI yang akan meneruskan siasatan isu Batu Puteh. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat