Ketua Umno Shah Alam berdepan pertuduhan seleweng dana

- Advertisement -

SHAH ALAM — Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berdepan hukuman penjara lima tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Rozilah Saleh.

Beliau berdepan enam pertuduhan melakukan penyelewengan dana program ibadah korban bernilai RM440,000 dan penggunaan dokumen palsu, di Mahkamah Sesyen, lapor Utusan Malaysia hari ini.

Pada 8 September dan 27 September 2017, Azhari didakwa sebagai penanda tangan tunggal bagi Persatuan Belia Kampung Kuantan Timur,  Persatuan Belia Bersatu Teguh Shah Alam dan Persatuan Belia Kampung Kuantan Utara telah menyalahgunakan dana bagi program ibadah korban dan sumbangan persekolahan anak yatim masing-masing sebanyak RM120,000; RM120,000 dan RM200,000

Kesalahan itu didakwa dilakukan dekat sebuah cawangan bank di Pelabuhan Klang dan dituduh di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan iaitu menyalahgunakan harta dengan curang yang mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun, sebat dan denda.

Bagi kesalahan penggunaan dokumen palsu pula beliau dituduh menggunakan minit mesyuarat agung tahunan pada 2009 daripada persatuan-persatuan berkenaan yang dianggap sebagai tulen.

Kesalahan itu dilakukan dekat cawangan bank sama pada 19 Mei 2010 dan didakwa di bawah Seksyen 465 Kanun Keseksaan iaitu menggunakan pemalsuan surat sebagai tulen yang mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Allan Suman Pillai kemudian menawarkan jaminan sebanyak RM100,000 dengan dua orang penjamin berserta syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili tertuduh, Ashok Kandiah Shanmuganathan memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap dan perlu menanggung empat orang anak, dua daripadanya masih bersekolah.

“Siasatan adalah terhadap kes yang didakwa dilakukan pada 2010 hingga 2017, bagaimanapun tertuduh memberikan komitmen terhadap siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) walaupun ditangkap semalam,” katanya.

Hakim kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM80,000 dengan dua orang penjamin berserta syarat tambahan dan menetapkan sebutan semula pada kes pada 13 April nanti.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat