KUALA LUMPUR,— Penulis dan penganalisis politik warga asing, Murray Hunter, telah mengemukakan permohonan maaf terbuka serta menarik balik sepenuhnya beberapa artikel dan hantaran media sosial yang mengkritik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), susulan penyelesaian tindakan sivil di Mahkamah Tinggi Malaya.
Dalam kenyataan bertajuk Public Apology and Retraction yang diterbitkan pada 13 Januari 2026, Hunter mengakui bahawa komen serta penulisannya mengenai MCMC dan individu berkaitan boleh dibaca sebagai tidak tepat, mengelirukan dan telah menimbulkan salah faham. Beliau turut menyatakan kekesalan serta memohon maaf sekiranya penerbitan tersebut telah menyebabkan kerosakan terhadap reputasi MCMC atau pihak-pihak berkaitan .
Kenyataan itu dibuat selaras dengan Perjanjian Penyelesaian dalam tindakan sivil Malaysia di bawah Saman Mahkamah Tinggi Malaya No. BA-23NCvC-61-11/2024, yang melibatkan beberapa penerbitan Hunter antara April hingga November 2024. Artikel-artikel berkenaan diterbitkan melalui platform Substack, Eurasia Review serta akaun media sosial X miliknya.
Antara kandungan yang ditarik balik sepenuhnya termasuk artikel yang mendakwa MCMC bertindak di luar kawalan, melakukan sekatan laman web secara berterusan, melindungi kepentingan kroni, serta dakwaan berkaitan siasatan terhadap tokoh politik dan kebebasan media. Hunter turut menarik balik kenyataan media yang mendakwa tindakan MCMC mempunyai kesan menakutkan terhadap kebebasan bersuara .
Dokumen sama turut menyenaraikan artikel-artikel yang menjadi asas kepada tindakan jenayah di Thailand, melibatkan laporan polis oleh pihak berkuasa negara itu terhadap beberapa penerbitan Hunter yang dibuat dari luar Malaysia sepanjang April 2024 .
Dalam kenyataan tersebut, Hunter menegaskan bahawa beliau menarik balik keseluruhan artikel dan komen yang disenaraikan dalam perjanjian penyelesaian berkenaan tanpa sebarang pengecualian.
Perkembangan ini menandakan penutup kepada satu episod pertikaian undang-undang berprofil tinggi antara Murray Hunter dan MCMC, yang sebelum ini mencetuskan perbahasan awam mengenai kebebasan bersuara, tanggungjawab penerbitan serta kuasa pengawalseliaan kandungan digital.



