KUALA LUMPUR — Kestabilan politik serta pendekatan pentadbiran yang inklusif menjadi antara faktor utama yang memastikan Pahang kekal stabil di bawah kepimpinan Barisan Nasional, walaupun landskap politik nasional terus berdepan pelbagai cabaran, kata Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Menurut beliau, keutamaan kerajaan negeri ialah memastikan kestabilan pentadbiran agar segala perancangan pembangunan dan kebajikan rakyat dapat dilaksanakan secara berkesan serta berterusan.
“Bagi saya, asas kepada kestabilan Pahang ialah kejujuran, keikhlasan, disiplin dan keterbukaan dalam mentadbir.
“Apabila nilai-nilai ini diamalkan secara konsisten, rakyat dapat melihat bahawa kerajaan negeri benar-benar mementingkan kebajikan mereka serta keharmonian antara kaum.
“Kestabilan politik membolehkan pentadbiran berjalan lancar dan dasar-dasar kerajaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam temu bual eksklusif bersama Suara TV di Ibu Pejabat UMNO, PWTC.
Wan Rosdy turut menegaskan bahawa hubungan UMNO Pahang dengan rakan komponen Barisan Nasional serta parti-parti dalam kerajaan perpaduan di peringkat negeri berada pada tahap yang matang dan saling menghormati.
“Walaupun MCA tidak memenangi sebarang kerusi Dewan Undangan Negeri, kerajaan negeri tetap melantik wakil MCA sebagai ADUN lantikan.
Ini membuktikan kematangan politik serta komitmen kita untuk memastikan semua rakan komponen turut terlibat dalam membantu rakyat.
Pendekatan ini bukan soal kepentingan politik sempit, tetapi soal tanggungjawab bersama demi kestabilan dan kemajuan negeri,” jelasnya.
Mengulas hubungannya dengan akar umbi, beliau menolak pendekatan kepimpinan elit dan menegaskan bahawa pemimpin mesti sentiasa mendekati rakyat serta bersedia mendengar pandangan di peringkat bawahan.
Beliau turut memaklumkan bahawa peningkatan hasil negeri melebihi RM1 bilion setahun dan pengurangan hutang negeri membuktikan keupayaan pentadbiran kerajaan negeri Pahang mengurus kewangan secara berhemah, namun menegaskan bahawa prestasi semata-mata tidak mencukupi tanpa komunikasi berkesan kepada rakyat.



