Kepimpinan berintegriti, konsisten jadi asas pemulihan parti – Wan Rosdy

KUALA LUMPUR — Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menegaskan bahawa pemulihan UMNO tidak boleh sekadar menjadi slogan, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui tindakan yang konsisten, kepimpinan berintegriti serta keberanian membuat keputusan yang tepat walaupun tidak popular.

Beliau yang juga Menteri Besar Pahang berkata, kejujuran, keikhlasan, disiplin dan keterbukaan merupakan nilai asas yang perlu diamalkan oleh setiap pemimpin UMNO bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti keramat itu.

“Pemulihan UMNO mesti bermula daripada sikap dan tindakan pemimpin. Kita tidak boleh terlalu mengejar populariti sehingga mengorbankan prinsip perjuangan membela agama, bangsa dan negara seperti yang termaktub dalam perlembagaan parti.

“Ia mesti diterjemahkan melalui tindakan yang konsisten, kepimpinan yang berintegriti dan kesediaan untuk membuat keputusan yang betul walaupun tidak popular.

“Jika kita benar-benar ikhlas mahu melihat UMNO kembali kuat, pemimpin perlu menunjukkan contoh yang baik dan meletakkan kepentingan parti mengatasi kepentingan peribadi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temu bual eksklusif bersama Suara TV di Ibu Pejabat UMNO, PWTC, sempena menjelang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025.

Mengulas harapannya terhadap PAU, Wan Rosdy menggesa perwakilan hadir dengan rasa tanggungjawab kepada parti, bukan untuk mencari perhatian atau populariti peribadi.

“PAU ialah medan penyatuan, bukan perpecahan. Perbahasan mesti berfakta, berilmu dan bertujuan memperkukuh parti.

“Saya berharap perwakilan hadir ke PAU dengan rasa tanggungjawab kepada parti, bukan untuk mencari populariti.

“Kita juga perlu memahami sejarah perjuangan UMNO supaya setiap pandangan yang disuarakan berpijak pada landasan yang betul dan tidak tersasar daripada matlamat asal parti,” ujuarnya.

Apabila ditanya mengenai kelemahan UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-15, beliau mengakui parti itu gagal mengurus persepsi dan sentimen pengundi, khususnya dalam kalangan golongan muda, meskipun prestasi kerajaan negeri dan pusat menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan.

“Prestasi sahaja tidak mencukupi. Persepsi, sentimen dan fitnah juga perlu diurus dengan bijaksana.

“Kini kita mengambil pendekatan lebih menyeluruh untuk menjelaskan kepada rakyat apa yang sebenarnya sedang dan telah dilakukan,” ujarnya.

Wan Rosdy turut mengingatkan ahli agar tidak terperangkap dalam politik emosi dan sentimen sempit, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha membina semula keyakinan rakyat terhadap UMNO sebagai parti yang berwibawa dan berpengalaman mentadbir negara.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat