PUTRAJAYA, — Kerajaan memutuskan untuk mengurangkan harga runcit petrol RON97, RON95 dan diesel bagi tempoh 15 Januari 2026 hingga 21 Januari 2026, selari dengan perubahan harga pasaran minyak dunia.
Dalam kenyataan dikeluarkan Kementerian Kewangan Malaysia, harga runcit RON97 diturunkan sebanyak tiga sen kepada RM3.08 seliter, manakala RON95 tanpa subsidi dikurangkan dua sen kepada RM2.52 seliter.
Harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia pula diturunkan sebanyak lima sen kepada RM2.84 seliter bagi tempoh sama. Sementara itu, harga RON95 bersubsidi di bawah program BUDI95 kekal pada RM1.99 seliter, dan harga diesel di Sabah, Sarawak serta Labuan kekal pada RM2.15 seliter.
Menurut kementerian itu, penetapan harga berkenaan dibuat berdasarkan mekanisme penetapan harga automatik atau Automatic Pricing Mechanism yang dilaksanakan secara mingguan, dengan mengambil kira pergerakan harga pasaran minyak mentah dunia.
Kerajaan turut menegaskan akan terus memantau perkembangan pasaran dan menyelaras harga runcit petroleum bagi menyokong kestabilan harga, di samping memastikan kebajikan serta kesejahteraan rakyat terus terpelihara.



