KUALA LUMPUR – Keputusan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 untuk tidak mencabar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno dinilai sebagai melanggar Perlembagaan parti.
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri dalam nada tidak berpuas hati berkata, PAU adalah tempat tertinggi dalam parti untuk buat keputusan namun ia masih tertakluk kepada Perlembagaan parti.
“Keputusan yang dibuat dalam Perhimpunan Agung adalah sah kerana prosiding adalah tempat tertinggi untuk keputusan parti dibuat mengikut Perkara 8(1) Perlembagaan parti.
“Tetapi sekali lagi, ada juga pandangan bahawa keputusan parti mesti dibuat selaras dengan Perlembagaan parti,” jelas Ismail Sabri memetik Perkara 9(3) perlembagaan Umno.
Perkara 9 (3) pada dasarnya menyatakan bahawa jawatan kepimpinan tertinggi mesti diletakkan untuk bertanding setiap tiga tahun melainkan pengundian sedemikian terpaksa ditangguhkan.
Hal demikian, bekas Perdana Menteri itu menyebut mana-mana ahli Umno yang tidak berpuas hati dengan keputusan parti untuk tidak mengadakan pemilihan presiden dan timbalan presiden pada pemilihan parti akan datang boleh membawa aduan mereka kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS).
“Oleh itu, mana-mana ahli parti boleh mendapatkan penjelasan daripada RoS untuk menyemak sama ada keputusan itu benar-benar sah,” kata Ismail Sabri.
Presiden parti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan presiden Datuk Seri Mohamad Hasan telah berjaya mengukuhkan cengkaman mereka terhadap Umno selepas usul tambahan tidak bertanding diluluskan melalui undian suara hari ini.
Tambah Ismail Sabri tindakan dan keputusan ini akan mengurangkan kepercayaan orang muda terhadap parti Umno.
Beliau berkata, tindakan Umno ini akan lebih menjauhkan anak muda daripada perjuangan Umno.
“Saya bimbang dari segi orang muda, tentu saja apa yang kita (Umno) buat bertentangan dengan idealisme mereka.
“Nak parti terbuka, hak untuk bertanding tapi tak jadi bertanding. Takutnya akan kurangkan lagi kepercayaan orang muda kepada Umno yang saya rasa akan sekat minat. Kita cakap nak tarik anak muda tapi tindakan kita menjauhkan anak muda,” ujarnya. – Suara.TV