Tiada pertandingan Presiden, Timbalan Presiden tak patut dipersoalkan – Zahid

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menghargai kepercayaan perwakilan yang memberi peluang kepadanya untuk mengetuai Umno untuk penggal seterusnya.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, biarpun badai melanda beliau akan terus membawa bahtera Umno menuju ke pelabuhan.

“Saya mengucapkan penghargaan kerana beri kepercayaan mengetuai Umno, kami berdua berganding bahu bagi terus membawa terus membawa bahtera untuk tempoh penggal berikut biarpun badai, ribut melanda,” katanya dalam ucapan pengulungan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 di WTC pada Sabtu.

Perwakilan Perhimpunan Agung Umno 2022 meluluskan usul agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti yang perlu diadakan selewat-lewatnya sebelum 19 Mei ini.

Keputusan itu diumumkan oleh Pengerusi Tetap Umno, Tan Sri Badruddin Amiruldin pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO 2022 yang berlangsung selama dua hari di Dewan Merdeka.

Semalam, cadangan agar Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan menerusi usul tambahan dikemukakan wakil Umno Bahagian Rembau, Mohd Shukri Shamsudin supaya dua jawatan tertinggi tersebut tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.

Cadangan usul tambahan itu mendapat reaksi berbeza daripada perwakilan apabila beberapa perwakilan termasuk melibatkan Badan Perhubungan Umno Negeri seperti Wilayah Persekutuan dan Johor menolak usul tersebut dan mahu kedua-dua jawatan berkenaan dipertandingkan.

Pada sidang medianya, Zahid berkata, usul-usul yang diluluskan dalam PAU kali ini mengikut Perlembagaan parti sepenuhnya.

“Jawatan lain Naib Presiden dan ke bawah terbuka untuk ditandingi, semua telah diabsahkan di PAU.

“Saya dan Timbalan Presiden tidak mengikuti bagaimana usul itu dibawa tapi ia jelas mempamerkan bahawa perwakilan yang juga akar umbi itu mahukan parti berjalan dengan baik,” katanya.

Sementara itu, Zahid juga menyebut bahawa Lembaga Disiplin Umno akan ambil tindakan terhadap Khairy Jamaluddin atas tuduhan perwakilan import yang didakwanya.

“Mana boleh masuk kalau tak ada kad perwakilan, mana boleh masuk.

“Tindakan terhadap Khairy akan dibincangkan oleh Lembaga Disiplin dan akan dibawa ke jawatankuasa pengurusan,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Datuk Seri Mohamad Hasan juga menafikan beliau mengarahkan perwakilan Umno Negeri Sembilan Bahagian Rembau untuk mengusulkan jawatan dua tertinggi itu tidak dipertandingkan.

“Saya pun terpinga-pinga, saya pun tak tahu.

“Saya tak perasan pun, sibuk dengan benda lain,” ujarnya.

Malah Zahid pula menegaskan bahawa usul tambahan itu adalah asli bukannya diarahkan.- Suara.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat