Cyberjaya : Pemuda UMNO Johor mencabar DAP supaya membawa isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke mahkamah melalui proses semakan kehakiman bagi memuktamadkan polemik yang berlarutan.
Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros berkata cabaran itu dibuat susulan dakwaan bahawa DAP terus memanfaatkan isu perpaduan nasional dan pendidikan sebagai modal politik, khususnya berkaitan pengiktirafan UEC.
Beliau berkata tindakan DAP yang mahu mendapatkan pertemuan dengan Perdana Menteri bagi membincangkan isu berkenaan dilihat bermotifkan politik, memandangkan ia dibangkitkan sejurus keputusan Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 yang menyaksikan prestasi tidak memberangsangkan parti itu.
“Sehubungan itu, bagi menamatkan serta memuktamadkan polemik berpanjangan berhubung peperiksaan UEC, Pemuda UMNO Johor mencabar DAP untuk membawa perkara ini ke peringkat semakan kehakiman di mahkamah,” menurut laporan oleh Free Malaysia Today.
Menurut Azleen, langkah membawa isu tersebut ke mahkamah akan memberikan penyelesaian tuntas terhadap pertikaian yang berpanjangan.
“Sekiranya mahkamah memutuskan bahawa UEC selari dengan Perlembagaan serta memenuhi aspirasi dan dasar nasional dalam bidang pendidikan, maka tiada lagi alasan untuk kerajaan menangguhkan pengiktirafan UEC.
“Keputusan semakan kehakiman ini akan menoktahkan segala polemik berhubung UEC, sekali gus membolehkan kerajaan dan semua pihak memberi fokus sepenuhnya kepada isu-isu yang lebih mendesak dalam memperkukuh dan memperbaiki sistem pendidikan.”
Cabaran itu dibuat susulan kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh yang menegaskan bahawa pihak tertentu perlu memahami Dasar Pendidikan Kebangsaan sebelum mendesak kerajaan mengiktiraf UEC.



