Dong Zong Harap Anwar Ada Kebijaksanaan, Keberanian Politik Ikutiraf UEC

CYBERJAYA: Presiden Dong Zong, Tan Yew Sing menyuarakan harapan agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat menangani isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) dengan kebijaksanaan serta keberanian politik, ketika polemik berkaitan sijil berkenaan kembali menjadi perdebatan awam.

Menurut Tan, isu UEC bukan sekadar melibatkan pendidikan, malah mempunyai implikasi besar terhadap masa depan bakat dan tenaga mahir negara. Beliau berkata kegagalan untuk mengiktiraf UEC berpotensi mempercepatkan lagi penghijrahan bakat dari Malaysia.

“Kami juga sedar realiti bahawa ada ahli politik yang menggunakan isu UEC untuk memanipulasi hubungan kaum, dan kami lebih berharap perdana menteri mempunyai kebijaksanaan dan keberanian politik untuk merentas duri dan semak.”

Bagaimanapun, Tan menegaskan bahawa pengiktirafan kerajaan bukanlah tujuan utama kewujudan UEC, dan sijil tersebut tidak akan mengorbankan prinsip atau identitinya demi mencapai pengiktirafan rasmi.

“Walaupun lebih awal UEC diiktiraf adalah lebih baik, UEC tidak pernah diwujudkan untuk tujuan pengiktirafan kerajaan dan ia sama sekali tidak akan mengorbankan ciri atau identitinya demi mendapatkan pengiktirafan tersebut.”

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama yang dianjurkan oleh Dong Zong dan Hua Zong (Persekutuan Persatuan-Persatuan Cina Malaysia), semalam.

Dalam pada itu, Tan memaklumkan bahawa Dong Zong tidak akan merayu agar UEC diiktiraf, sebaliknya akan terus menumpukan usaha memperkukuh kualiti dan daya saing sijil berkenaan.

“Kepercayaan paling penting dalam keseluruhan sistem pendidikan Cina (di Malaysia) sentiasa berpaksikan prinsip: ‘Sebagaimana langit terus bergerak dengan penuh tenaga, insan mulia juga mesti sentiasa berusaha memperbaiki diri.’”

“Kerajaan boleh datang dan pergi, kami tidak meminta simpati, kami tidak merayu dan kami juga tidak akan mudah berasa selesa; kami hanya akan berusaha menjadi lebih kuat.”

Tan turut menegaskan bahawa usaha berterusan untuk memperbaiki diri adalah kunci kepada kelangsungan dan kekuatan sistem pendidikan Cina di Malaysia.

“Jika kita terus mara ke hadapan, sementara yang lain kekal di tempat sama, maka kita boleh melihat kembali perjalanan yang telah ditempuhi, terus memperbaiki diri dan melangkah yakin dengan senyuman.”

Pada masa sama, beliau memberi amaran bahawa keengganan kerajaan untuk mengiktiraf UEC bukan sahaja merugikan sistem pendidikan, malah membawa kesan negatif kepada pembangunan negara secara keseluruhan, khususnya dari segi pengekalan bakat tempatan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat