KUANTAN: Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail melahirkan rasa bangga dengan pencapaian dua orang pelajar Orang Asli dari Sekolah Kebangsaan Permatang Keledang, Pekan yang mewakili negara dalam pertandingan MakeX International Robotics Championship Round 2023 di Yantai, Shandong, China.
Menurut Wan Rosdy, pencapaian adik Aizal A/L Rashid dan adik Nazril A/L Nazaran telah berjaya mara hingga ke peringkat separuh akhir setelah beberapa hari bertarung bersama-sama 414 pasukan robotik dari seluruh dunia.
“Syabas dan tahniah kepada adik Aizal A/L Rashid dan adik Nazril A/L Nazaran, pelajar Orang Asli dari Sekolah Kebangsaan Permatang Keledang, Pekan yang mewakili Malaysia dalam pertandingan MakeX International Robotics Championship Round 2023 di Yantai, Shandong, China.
“Kedua-dua mereka telah berjaya mara hingga ke peringkat separuh akhir setelah beberapa hari bertarung bersama-sama 414 pasukan robotik dari seluruh dunia.
“Saya secara peribadi melahirkan rasa bangga atas pencapaian ini,” ucap Wan Rosdy menerusi perkongsian Facebooknya, sebentar tadi.
Beliau berharap, ia akan menjadi contoh terbaik bukan sahaja kepada pelajar-pelajar Orang Asli, tetapi juga anak-anak Pahang yang lain untuk lebih berusaha mencapai kejayaan
“Semoga kegigihan dan semangat yang ditunjukkan oleh Aizal dan Nazril menjadi contoh terbaik bukan sahaja kepada pelajar-pelajar Orang Asli, tetapi juga anak-anak Pahang yang lain untuk lebih berusaha mencapai kejayaan dalam apa juga bidang yang diceburi,” katanya.