Tahniah kepada Datuk Saarani Mohamad yang telah dilantik sebagai Menteri Besar Perak ke-14 khamis lalu. Krisis politik di Perak ini menunjukkan walaupun kekuatan UMNO dianggap telah susut, ia masih merupakan satu kuasa politik yang perlu dihormati.
Namun krisis ini memberi kita satu senario politik yang baharu apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, melontarkan kebarangkalian satu jajaran baharu politik negara.
Lontaran ini adalah isyarat jelas kepada Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa sebahagian dalam UMNO bersedia meneroka kemungkinan baharu jika keadaan tidak berubah.
Jajaran baharu politik ini dalam konteks politik Perak minggu lepas dan politik nasional pada minggu-minggu mendatang adalah refleksi kepada kesediaan UMNO bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) termasuk DAP.
Kenyataan Ahmad Zahid dan sambutan positif pemimpin DAP terhadap lontaran ini menunjukkan manusia politik boleh berevolusi sesuai dengan kepentingan mereka dan kehendak massa.
Sambutan positif DAP menunjukkan segala tuduhan dan momokan bahawa UMNO ini parti anti-Cina, parti korupsi dan perosak negara adalah tidak benar dan sekadar hujahan politik memburukkan lawan sahaja.
Jika UMNO begitu buruk mengapa DAP sanggup bekerjasama?
UMNO juga jika serius mahu bekerjasama dengan DAP perlu menjawab kepada pengundi Melayu, apakah perubahan dalam DAP hari ini yang boleh merasionalkan usaha mengadakan kerjasama ini?
Ada pandangan jajaran baharu UMNO – DAP ini lebih relevan kerana kedua-dua parti tidak berebut kawasan dan pengundi yang sama. Ini bermakna UMNO boleh kembali menjadi dominan dengan cepat melalui kerjasama ini.
Namun hujahan ini hanya relevan jika kedua-dua parti mempunyai jumlah penyokong tegar yang mewakili 45-55% jumlah pengundi. Malangnya politik Malaysia tidak bersifat demikian walaupun sebahagian penyokong UMNO mahu percaya keadaan itu.
Kebanyakan pengundi UMNO merupakan kumpulan orang Melayu yang percaya DAP adalah ancaman kepada hak keistimewaan masyarakat Melayu dan Bumiputera, kedudukan Raja-raja Melayu, agama Islam dan bahasa Melayu.
Sebaik sahaja kerjasama UMNO-DAP dimerterai, sebahagian kumpulan pengundi Melayu dan Islam akan berpindah kepada parti lain yang dilihat lebih mewakili kepentingan mereka.
Ketika UMNO kehilangan sebahagian pengundi mereka, DAP juga akan berhadapan masalah yang sama. Majoriti pengundi Cina mengundi DAP bukan kerana mereka benci MCA, namun lebih kepada marahkan UMNO.
Mereka ini boleh berubah seperti mana yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum 1999 dan 2004. Dalam pilihan raya umum 1999, banyak tokoh kanan DAP tumpas apabila parti tersebut mengadakan kerjasama dengan Pas yang dilihat ancaman kepada masyarakat Cina.
Dalam PRU 2004, pengundi Cina memberi sokongan kepada BN apabila UMNO melakukan perubahan kepimpinan. Pada 2008 mereka kembali mengundi DAP dan PKR apabila mereka hilang kepercayaan kepada kepimpinan negara di bawah BN.
Justeru kerjasama dengan DAP tidak akan menjamin kerusi yang banyak kerana sokongan pengundi Cina kepada DAP lebih bercorak sentimen kepada kepimpinan Melayu dan apa yang mereka percaya usaha menentang korupsi UMNO.
Tidak mustahil Bersatu juga sedang berharap perkara yang sama (kerjasama UMNO – DAP) berlaku supaya mereka dapat mengambil alih peranan UMNO sebagai penjaga kepentingan agama, bangsa dan negara ini dari persepektif masyarakat Bumiputera.
Namun Bersatu harus sedar bahawa UMNO mempunyai kekuatan akar umbi yang tidak ada kepada Mereka.
Walaupun jajaran baharu politik ini tidak akan membolehkan BN menang PRU, namun ia cukup untuk memastikan Bersatu juga tidak lagi mempunyai kuasa pada penggal akan datang.
Realitinya pertentangan BN – PN atau UMNO – Bersatu ini seperti peribahasa Melayu, “yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu”.
Usaha menguruskan kekuatan politik Melayu adalah tanggungjawab Muhyiddin Yassin. Orang Melayu di bawah tidak tahu apa yang berlaku di koridor kuasa para pemimpin Melayu.
Seperti saranan saya minggu lepas, jika Muhyiddin tidak berminat untuk mengukuhkan kerjasama politik ini, lebih baik beliau mencari pengganti yang ada pengaruh dan kesungguhan untuk memulihkan keadaan.
*Dipetik dari Sinar Ahad 13 Disember 2020