KUALA LUMPUR – Umno lebih besar daripada mana-mana individu bahkan perjuangan parti Melayu ini tidak terhenti kerana ada diantara kita telah memilih haluan yang berbeza.
Exco Wanita Umno Datuk Nurulhidayah Zahid mengingatkan, jawatan dalam Umno bukan hiasan, ia adalah amanah.
“Sebagai seorang yang sedang dan masih memegang jawatan dan amanah dalam parti (Exco Wanita Umno Malaysia – menang dan terpilih), kenyataan seorang bekas ahli Umno yang juga pernah berada di kedudukan ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno (MKT), dan kini keluar dari Umno untuk menyertai parti lain yang kerana kononnya DNA perjuangan parti tersebut selari dengan perjuangan beliau, berikut adalah komen dan pendapatan peribadi saya (walaupun tidak ditanya).
“Apabila seseorang diberi kepercayaan oleh Umno untuk memegang jawatan penting, khususnya sebagai Senator dan MKT, ia bukan sekadar pangkat atau kedudukan. Ia datang bersama tanggungjawab moral, kesetiaan dasar, dan disiplin politik.
“Kita semua berbeza pandangan, tetapi kesetiaan kepada asas perjuangan parti adalah prinsip paling minimum yang perlu dijaga.
“Kedua, mengaku selari dengan parti lain adalah kenyataan yang mengelirukan. Kenyataan seperti itu bukan sahaja mengelirukan ahli Umno, malah mencabar integriti kepimpinan parti apabila beliau sendiri telah diangkat sebagai Senator dan diberi jawatan sebagai Menteri yg mewakili Umno pada ketika itu, adakah haluannya sama hanya untuk tempoh tertentu? soal anak Presiden Umno itu dalam hantaran Facebooknya pada Khamis.
Sementara itu, Nurulhidayah berkata beliau bukanlah orang yang mudah melabel sesiapa sebagai pengkhianat, kerana istilah itu besar dan berat.
Namun katanya, perbuatan menzahirkan kesetiaan ideologi kepada parti lain apabila pernah punya jawatan dalam Umno adalah tindakan yang jelas bertentangan dengan prinsip berorganisasi.
“Pesanan saya buat diri sendiri dan kepada ahli Umno yang masih setia, kita tidak perlu “carried away” pada episod kecil seperti ini. Umno lebih besar daripada mana-mana individu. Perjuangan kita tidak terhenti kerana ada diantara kita telah memilih haluan yang berbeza.
“Apa yang penting, kita terus bekerja membina kembali keyakinan rakyat. Kita jadikan hal ini pengajaran bahawa jawatan perlu dipikul dengan kesetiaan dan kejujuran, bukan sekadar untuk tempoh tertentu.
“Saya menyatakan pendangan ini bukan untuk menghukum sesiapa, tetapi untuk menyatakan prinsip (walaupun tiada siapa yang bertanya).
“Kita sama-sama mendoakan, jika benar beliau ingin berjuang di platform baharu agar beliau dapat mulakan perjalanan politik dengan niat yang jujur dan ikhlas dalam meniti sakit manis perjuangan.
“Akhirnya, yang kekal bukanlah nama atau jawatan, tetapi bagaimana kita membawa diri kita untuk berjuang dengan berpaksikan prinsip yang lebih benar. All the best TZ,” ucap Nurulhidayah.



