Rahman Dahlan Puji Dasar Pandang Borneo Najib

- Advertisement -

CYBERJAYA: Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Rahman Dahlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Tuaran, memuji cadangan dasar pandang Borneo yang disebutkan Ahli parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan belanjawan beliau di parlimen kelmarin.

Dalam ucapannya, Najib berkata sudah tiba masanya untuk Sabah dan Sarawak dijadikan tumpuan pelabur domestik dan antarabangsa. Menurut bekas Perdana Menteri itu, Sabah dan Sarawak mempunyai potensi yang cukup besar untuk merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara kita.

Rahman berkata beliau mengucapkan terima kasih dan syabas kepada Najib kerana mempunyai visi luar kotak yang jarang difikirkan oleh orang lain.

Menurutnya lagi, Sabah dan Sarawak boleh menjadi pencetus baru ekonomi (new economic catalyst) buat negara Malaysia, tapi ia juga bergantung kepada kesudian dan keberanian kerajaan pusat untuk membuat perubahan besar dalam strategi ekonomi negara.

“Idea Dasar Pandang ke Borneo ini adalah satu dasar yang menarik dan mampu meransang ekonomi Malaysia selain menjadikan Sabah dan Sarawak enjin ekonomi negara yang baru”, kata beliau seperti dipetik dari akaun Facebooknya.

Menambah baik kepada cadangan Najib itu kata Rahman, “ketika saya menjadi menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap Unit Perancang Ekonominya bagi tempoh 2016-2018, saya telah menzahirkan beberapa cadangan baru untuk menambah baik pengurusan ekonomi negara”. Antaranya ialah:

1) Tunai, bukannya projek dimana semua peruntukan kerajaan pusat untuk pembangunan di Sabah dibuat secara tunai kepada kerajaan negeri. Terpulang kepada kerajaan negeri untuk mengurus dan mengenal pasti projek yang bersesuaian.
Kerajaan pusat akan dimaklumkan kemudiannya mengenai status perkembangan projek.

Ini tidak sukar dilaksanakan kerana Sabah dan Sarawak mengamalkan sistem kabinet sama seperti kerajaan pusat seperti diwajibkan oleh perlembagaan negeri masing-masing. Banyak kerja dan tugasan kementerian pusat boleh diambil alih oleh kerajaan negeri tanpa masalah besar.

Audit dan SOP kewangan yang ketat boleh dibuat oleh kerajaan pusat dan pertanggungjawaban boleh diletakkan dibahu kerajaan negeri termasuk melaporkan semula status perbelanjaan setiap kementerian negeri kepada kerajaan pusat.

Selain memberi peluang kepada kerajaan negeri untuk menentukan projek keutamaan kepada rakyat Malaysia di negeri mereka, kerajaan Pusat juga akan dapat menjimatkan kos pengurusan yang besar seperti menguruskan pejabat dan sebagainya.

Beliau memberi contoh di Sabah, dimana kementerian kerajaan pusat terpaksa mewujudkan pejabat bukan sahaja di Kota Kinabalu tetapi juga di Sabdakan dan Tawau. Begitu juga di Sarawak. Begitu juga di Sarawak dimana pejabat kementerian pusat terpaksa diwujudkan di Sibu, Bintulu dan Miri – selain Kuching.

Selain mengurangkan perbelanjaan mengurus dengan ketara dan menyelesaikan keluhan kerajaan pusat yang selalu mengadu tentang kos pengurusan (operating cost) kerajaan pusat yang semakin membengkak, keputusan mengenai sesuatu projek juga dapat dibuat dengan cepat kerana pegawai-pegawai kementerian kerajaan negeri sudah memahami isu dan masalah diakar umbi.

Dengan adanya peruntukan tunai, kerajaan negeri Sabah dan Sarawak akan dapat mempertingkatkan keberkesanan (efficiency) penyampaian perkhidmatan mereka dengan adanya pengalaman berterusan mengurus projek-projek dan dasar kerajaan pusat. Sekarang ini, pencapaian pegawai-pegawai kementerian kerajaan negeri tidak dapat dimaksimumkan kerana mereka hanya mengurus projek berdasarkan peruntukan kerajaan negeri yang agak kecil.

Pendekatan ini jelasnya adalah “Win-win-win situation” untuk semua pihak. Kerajaan Pusat dapat mengurangkan kos pengurusan secara drastik, kerajaan Negeri pula akan dapat memaksimumkan kewujudan kementerian mereka, sementara rakyat pula akan mendapat perkhidmatan yang cekap dan cepat berdasarkan citarasa mereka.

2) Satu Negara, Satu Harga

Walaupun sebagai negeri pengeluar minyak terbesar negara, rakyat Sabah dan Sarawak masih tidak menikmati tahap pembangunan yang setara dengan Semenanjung Malaysia. Pendapatan rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak rendah dibandingkan dengan semenanjung Malaysia. Peluang pekerjaan juga tidak mencukupi.

Masalah pendapatan yang rendah ditambah pula dengan kos barangan yang tinggi. Kedua-dua faktor ini menyebabkan kehidupan rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak amat mencabar sekali. Tidak hairanlah, rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak sentiasa mengeluh dengan tanggapan ketidakadilan ekonomi ini.

Kerajaan pusat boleh membuat satu dasar baru iaitu mewajibkan pengilang dan perniagaan menyamaratakan harga barangan di seluruh Malaysia. Tidak perlu lagi ada satu harga untuk semenanjung dan satu harga berlainan untuk Sabah dan Sarawak yang tinggi dari harga semenanjung.

Alasan yang selalu digunakan oleh pengilang dan perniagaan untuk mengenakan harga tinggi untuk Sabah dan Sarawak ialah kos penghantaran. Yang menghairankan, kenapa harga barangan di seluruh semenanjung boleh pula diselaraskan walaupun ada kos penghantaran ke negeri-negeri yang jauh seperti Kelantan dan Perlis? Maksudnya pengguna di negeri pengeluar barangan (contohnya Selangor, Johor dan Pulau Pinang) akan membayar harga lebih sedikit untuk mensubsidi kos penghantaran ke pengguna di negeri bukan pengeluar barangan (contohnya di Kelantan dan Perlis).

Sebab itu kata beliau, menyeragamkan harga seluruh Malaysia tidak akan memberi kesan yang besar akibat kenaikkan harga kepada pengguna di semenanjung kerana pengguna di Sabah dan Sarawak tidak seramai pengguna di semenanjung. Lagi pun kuantiti yang dibeli oleh pengguna di Sabah dan Sarawak jauh lebih rendah dari semenanjung.

Menyamaratakan harga barangan bagi seluruh Malaysia bukan sahaja dasar ekonomi yang adil, ia juga adalah “tanggungjawab moral” kerajaan pusat kepada rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak yang berdepan dengan kesan melemahkan (debilitating impact) berikutan kos kehidupan yang tinggi dan pendapatan yang rendah, walaupun Sabah dan Sarawak menyumbang hasil minyak kepada negara.

3) Fokus kepada kawasan terkesan PTI

Menurut satu kajian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kerajaan pusat sesebuah negara perlu menambah peruntukan pembangunan di kawasan yang terkesan teruk akibat lambakan pendatang tanpa izin (PTI). Menurut PBB, adalah tidak adil kepada rakyat di kawasan terkesan itu menanggung bebanan yang tidak adil dengan rakyat kawasan lain akibat kehadiran PTI yang ramai di kawasan mereka.

Rakyat Malaysia di Sabah terutamanya di pantai timur (Sandakan, Tawau, Lahad Datu dan Tawau) terpaksa berkongsi perkhidmatan awam seperti hospital, pengangkutan awam, sekolah, perlindungan polis dan subsidi dengan PTI. Mereka juga terpaksa bersaing dengan PTI dalam peluang pekerjaan dan perniagaan.

Oleh kerana masalah PTI tidak dapat dikongsi kerana sukar memindah mereka ke negeri-negeri lain dalam Malaysia, maka adalah adil kerajaan pusat menambahkan kemudahan perkhidmatan awam di Sabah terutamanya di pantai timur Sabah.

Agak malang melihat rakyat Malaysia di pantai timur Sabah berebut tempat duduk dengan PTI dalam pengangkutan awam, berebut untuk membeli beras subsidi, berebut untuk mendapatkan pekhidmatan kesihatan di hospital kerajaan, berebut peluang pekerjaan, berebut peluang berniaga dan berebut mendapatkan perkhidmatan polis kerana PDRM terpaksa juga mengarahkan tenaga kerja mereka, yang memang pun sudah terhad, untuk memantau kawasan dan tindak tanduk PTI.

Ada banyak lagi cadangan lain seperti:

1) Meningkatkan perkhidmatan pelabuhan dan infrastruktur awam yang menyebabkan kos barangan di Sabah dan Sarawak lebih tinggi.

2) Mewajibkan semua pengusaha besar kelapa sawit, koko dan minyak/gas di Sabah dan Sarawak membina perniagaan hiliran mereka di Sabah dan Sarawak supaya peluang pekerjaan dapat diujudkan untuk rakyat tempatan dan bukannya membina kilang hiliran mereka di semenanjung atau di negara lain. Malah saya cadangkan ibu pejabat mereka mesti juga terletak di Sabah atau Sarawak.

3) Tambahbaik jaringan internet berkelajuan tinggi di seluruh Sabah dan Sarawak dan rantaian bekalan (supply chain) supaya perniagaan online dapat diusahakan oleh rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak kerana di Sabah dan Sarawak tidak ada Bukit Bintang dan KLCC yang menjadi lokasi pilihan utama peniaga untuk membuka kedai disebabkan pengunjung yang ramai di sana. Sektor pendidikan juga akan mendapat manfaat kerana pelajar, guru, sekolah dan kolej serta universiti mempunyai akses kepada internet berkelajuan tinggi.

4)Menjadikan Lapangan Terbang Kota Kinabalu sebagai hub penerbangan kargo dan penerbangan kos rendah kerana, seperti yang dimaklumkan oleh Najib dalam ucapannya, Sabah dan Sarawak lebih dekat dengan negara lain seperti China, Jepun dan Austrlia dibandingkan dengan Kuala Lumpur.

5) Kerajaan pusat dan kerajaan negeri mesti bekerjasama untuk menawarkan satu insentif pelaburan yang baru dan luar biasa kepada pelabur yang ingin melabur di Sabah dan Sarawak.

Setiap pelabur akan bersetuju untuk melabur jika insentif yang diberikan cukup menarik. Buat masa ini, di Sabah dan Sarawak, peluang pekerjaan hasil dari pelaburan itu jauh lebih penting dan mendesak dari peluang mendapatkan cukai daripada pelabur.

Ingat, pelabur akan melabur jika untung mereka lebih banyak dari kos perniagaan mereka.

6) Bina infrastruktur seperti jalanraya menghubungkan Sabah dan Sarawak dengan Kalimantan, Indonesia untuk meningkatkan akses kepada pasaran baru dan pergerakan barangan dan penumpang. Bila pasaran Sabah, Sarawak dan Kalimantan bergabung, maka akan ujud pasaran yang cukup besar.

Semua cadangan di atas (dan cadangan-cadangan yang baik dari orang lain) perlu diikhtiarkan, kata Rahman.

Diahirnya, Rahman berharap semoga hasrat setiap rakyat Malaysia untuk menjadikan Malaysia sebuah negara terangkum (inclusive) dengan dasar keadilan ekonomi (economic justice) yang menyeluruh akan tercapai.

Pautan asal tulisan di atas boleh dirujuk disini.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat