KUALA LUMPUR – PAS akhirnya memilih bersama Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan keputusan memilih bersama PN ini dibuat atas prinsip penyatuan ummah.
“Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang diadakan pada hari ini telah membuat keputusan memperkukuhkan kerjasama dalam PN untuk menghadapi PRU15, atas prinsip penyatuan ummah.
“Memuktamadkan perbincangan kerusi-kerusi di negeri dengan PN,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini PAS dilihat tegar mahu mempertahankan penyatuan tiga parti teras Melayu Islam iaitu melibatkan kebersamaan Umno dan Bersatu.
Malah selepas Umno menetapkan tiga syarat kepada Pas, parti Islam itu tetap mahukan kesatuan bersama Umno dan Bersatu.
Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menetapkan tiga syarat termasuk Pas perlu keluar daripada gabungan PN, memutuskan hubungan politik dengan Bersatu serta mengisytiharkan secara rasmi ‘mufaraqah’ berkenaan dan bukan hanya sekadar retorik politik.