Mahathir Mungkin Cuai Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah Dan Tubir Selatan – PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Laporan Siasatan ke atas Dakwaan-Dakwaan Dalam Buku Bertajuk “My Story: Justice In The Wilderness” tulisan Bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas mendapati kemungkinan adanya kecuaian dan kekhilafan bekas Perdana Menteri Ke-7, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Ia berkaitan apabila Malaysia terlepas peluang untuk memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan penghakiman Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada tahun 2008, dan permintaan tafsiran Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Ini selepas Dr Mahathir membuat keputusan untuk tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran penghakiman pada 11 Jun 2018.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, dua pasukan petugas khas telah membentangkan Laporan Siasatan ke atas Dakwaan-Dakwaan Dalam Buku Bertajuk “My Story: Justice In The Wilderness” tulisan Tommy Thomas dan Laporan Semakan Undang-Undang Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah Dan Tubir Selatan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 30 September 2022 dan 7 Oktober 2022.

“Pelbagai pendekatan telah dilaksanakan kedua-dua Pasukan Petugas Khas seperti meneliti dan menyemak dokumentasi dan material berkaitan, mengadakan siri perbincangan, mesyuarat dan lawatan kerja dalam serta luar negara, khidmat konsultasi bersama pakar perundangan dan juru hidrografi luar negara, serta sesi temu bual dengan individu yang dikenal pasti bagi melaksanakan tugasan sebagaimana terma rujukan ditetapkan.

“Susulan pembentangan Laporan Pasukan Petugas Khas Siasatan ke atas Dakwaan-Dakwaan Dalam Buku Bertajuk “My Story: Justice in The Wilderness” tulisan Tommy Thomas, Kerajaan telah bersetuju untuk menyahklasfikasikan dan mendedahkan laporan tersebut kepada umum,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Setelah mendengar pembentangan daripada Pasukan Khas Semakan Undang- Undang Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah Dan Tubir Selatan, maka Ismail Sabri memberitahu Jemaah Menteri bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan oleh pasukan tersebut iaitu meneruskan tindakan perundangan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (International Court of Justice- ICJ) berkaitan isu ini.

“Mengambil tindakan sewajarnya bagi mempertahankan kedaulatan negara,” jelas beliau.

Ismail Sabri menyatakan, syor-syor hala tuju kerajaan dan penambahbaikan yang dicadangkan Pasukan Petugas Khas melalui kedua-dua laporan ini adalah bersifat telus, berkecuali dan inklusif dengan mempertimbangkan hasil analisa, penelitian serta pemerhatian ahli Pasukan Petugas Khas.

“Pelaksanaan Pasukan Petugas Khas ini secara keseluruhannya menjelaskan komitmen Kerajaan untuk penyelesaian terbaik berkaitan perkara ini demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” ujarnya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat