KKM henti keperluan ujian pengesanan COVID-19 yang melancong ke Langkawi

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) membuat keputusan menghentikan keperluan ujian pengesanan COVID-19 sebelum pelancong memasuki Pulau Langkawi, berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata namun sebagai langkah mengukuhkan tindakan kesihatan awam, pelancong yang mahu memasuki pusat peranginan itu digalakkan untuk menjalani ujian kendiri sebelum memulakan perjalanan ke pulau berkenaan.

“Setakat Ahad lalu, seramai 54,341 pelancong sudah menjalani ujian pengesanan COVID-19 dan hanya 216 (0.4 peratus) dikesan positif.

“Hanya seorang pelancong yang mengalami gejala ketika berada di Langkawi dan didapati positif COVID-19 melalui ujian RT-PCR. Hasil siasatan mendapati punca jangkitan bukan di Langkawi.

“Tiada kluster COVID-19 yang berpunca daripada gelembung pelancongan di Langkawi. Sehubungan itu, KKM menyemak semula keperluan pengujian status jangkitan COVID-19 sebelum melancong ke Langkawi.

“Mengambil kira peratus sangat rendah pelancong yang dikesan positif ketika saringan, KKM memutuskan untuk memberhentikan keperluan ujian pengesanan COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ketika projek rintis gelembung pelancongan Langkawi bermula 16 September lalu, semua pelancong diwajibkan menjalani ujian pengesanan COVID-19 sebelum memulakan perjalanan ke pulau itu.

Ujian pengesanan sama ada secara RT-PCR atau RTK-Antigen itu perlu dilakukan di mana-mana fasiliti kesihatan serta makmal swasta dalam tempoh 48 jam sebelum tarikh berlepas.

Dalam pada itu, Khairy berkata, syarat wajib vaksinasi COVID-19 yang lengkap bagi semua pelancong dewasa, masih kekal dan perlu dipatuhi.

“Bagi individu yang mengalami gejala seperti demam, batuk dan selesema, mereka dinasihat menangguhkan dahulu perjalanan.

“Keluarga Malaysia mesti bertanggungjawab dalam usaha mencegah penularan jangkitan COVID-19.

“Kerajaan dan seluruh petugas barisan hadapan kesihatan serta keselamatan sudah melakukan yang terbaik untuk merawat dan mengawal penularan COVID-19 dalam negara,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, setiap individu yang akan merentas negeri, disaran melakukan ujian COVID-19 secara kendiri sebelum memulakan perjalanan.

Katanya, ia penting bagi melindungi diri dan seluruh Keluarga Malaysia daripada jangkitan COVID-19, sekali gus memastikan langkah pencegahan sentiasa diamalkan.

-BERITA HARIAN

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat