Kerajaan Sementara Melaka Mesti Diwakili ADUN Ada Majoriti

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan sementara Melaka mesti diwakili ADUN yang mempunyai majoriti,” itu pendapat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

Majlis itu berkata, perbincangan perlu terus diadakan agar semua pihak memastikan Perlembagaaan Negeri Melaka ditegakkan dan dihormati.

Katanya, berikutan itu PH menolak pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang tidak berpelembagaan kerana terdapat gabungan parti yang mendapat sokongan majoriti ADUN.

“Oleh yang demikian PH menolak penamaan Datuk Seri Sulaiman Md Ali selaku Ketua Menteri ‘caretaker’ Melaka kerana beliau telah jelas hilang sokongan majoriti ADUN Melaka, sebelum DUN dibubarkan dan tidak lagi mampu mengetuai Kerajaan Negeri Melaka.

“Perbincangan perlu diadakan agar semua pihak memastikan Perlembagaan Negeri Melaka ditegakkan dan dihormati dengan mewajibkan mana-mana kerajaan, termasuk kerajaan ‘caretaker’ diwakili oleh golongan majoriti ADUN,” kata kenyataan itu, semalam.

Isnin lalu, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Kamel Mohamad mengumumkan Sulaiman mengetuai kerajaan sementara Melaka dan dibantu oleh ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sedia ada, kecuali mereka yang meletak jawatan.

Kamel berkata, walaupun Perlembagaan Negeri Melaka tidak memperuntuk secara khusus mengenai fungsi dan peranan kerajaan sementara, namun berdasarkan konvensyen dalam sistem demokrasi berparlimen di negara-negara Komanwel, ia hanya berfungsi untuk mentadbir sesebuah negara atau negeri sehingga satu kerajaan baharu dibentuk.

Mengulas lanjut, PH berkata, perbincangan sepatutnya diadakan terlebih dahulu di antara Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, blok majoriti diketuai Ketua Pembangkang, Adly Zahari bersama blok diketuai Datuk Seri Idris Haron dan blok minoriti diketuai Sulaiman, sebelum menamakan Ketua Menteri sementara.

“Seperti yang berlaku di Perak pada 2009, mahupun Melaka itu sendiri pada 2020, seharusnya blok majoriti diberi peluang mengetuai pentadbiran negeri,” katanya.

PH dalam pada itu mengulangi pendirian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak patut diadakan pada masa ini bagi mengelakkan gelombang keempat penularan wabak COVID-19.

“Darurat juga tidak sesuai memandangkan ia akan menimbulkan kegusaran dalam kalangan pelabur ketika usaha menghidupkan semula ekonomi negara sedang diperhebat,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,579FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat