PAS Nafi Dua Ahli Parlimennya Sokong Anwar

- Advertisement -

PORT DICKSON – PAS hari ini menafikan dakwaan bahawa dua Ahli Parlimen daripada parti itu adalah antara yang disenarai menyokong Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata PAS menyokong penuh kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri namun dalam masa sama parti itu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk perubahan kerajaan.

“Sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, semua pihak mempunyai hak dari sudut Perlembagaan, namun dalam situasi COVID-19 yang melanda negara ketika ini, soal itu (pertukaran kerajaan) perlu diketepikan.

“Dalam situasi COVID-19 yang melanda negara dan ekonomi yang belum pulih selain rakyat berdepan tekanan, keutamaan kita seharusnya pada isu yang melibatkan kepentingan rakyat daripada lihat isu kecamuk politik yang tidak selesai,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau lokasi pencemaran tumpahan minyak di Pantai Cermin, di sini, hari ini.

Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air berkata parti itu ketika ini mengambil pendekatan tunggu dan lihat perkembangan selanjutnya berikutan kunjungan menghadap Anwar ke atas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, hari ini.

“Apa yang pasti, seramai 18 Ahli Parlimen PAS sokong kepada Perdana Menteri,” katanya.

Anwar pada 23 Sept lepas mendakwa mendapat sokongan yang kukuh dan menyakinkan daripada Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan Persekutuan yang baharu.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat