Inovasi Frugal dalam Ekonomi Negara Membangun

- Advertisement -

Oleh: Niza Afendi

Kemajuan ekonomi sesebuah negara kini tidak hanya bergantung kepada sumber manusia dan sumber daya semata. Teknologi telah menjadi faktor terpenting dalam merangsang pembangunan ekonomi negara. Tambahan pula, kebelakangan ini, persaingan yang hebat di pasaran global mendorong firma tempatan untuk berinovasi menghasilkan produk berkualiti tinggi, tetapi dengan harga yang berpatutan untuk kebanyakan kumpulan pengguna.

Kesannya, peningkatan mendadak produk berkualiti dan bilangan inovasi frugal yang dihasilkan oleh firma tempatan dan multinasional dari negara-negara membangun adalah sangat memberangsangkan.

Istilah inovasi frugal telah dipopularkan oleh The Economist pada tahun 2010. Pada dasarnya, inovasi frugal iaitu produk yang terhasil dengan harga yang berpatutan untuk memenuhi keperluan pengguna yang kekurangan dari segi sumber daya. Situasi ini menciptakan permintaan yang luar biasa di pasaran ekonomi negara membangun. Pada asasnya, inovasi frugal bukan dengan hanya produk tersebut dapat dipasarkan dengan murah, tetapi juga bagaimana sesuatu produk tersebut dirancang, dihasilkan, diedarkan, dan dikekalkan berdasarkan fungsinya.

Inovasi frugal tidak hanya mengeksploitasi tenaga kerja yang murah, tetapi juga mengurangkan kos yang tidak perlu. Maka, terhasillah produk, perkhidmatan atau proses yang menggunakan tenaga dan bahan mentah dengan lebih berkesan berbanding inovasi tradisional.

Seterusnya, idea dan produk inovatif semakin banyak dibangunkan oleh firma tempatan di negara-negara membangun dan dipasarkan ke seluruh dunia. Firma tempatan, khususnya daripada China dan India mengembangkan inovasi yang menawarkan produk kualiti unggul dengan kos rendah kepada pelanggan. Firma pembuat perkakas rumah di China, iaitu Haier misalnya, mencipta mesin basuh muatan kecil yang menawarkan alternatif yang sangat nyata berbanding mesin basuh yang berkapasiti besar dan lebih mahal.

Firma Galanz mengeluarkan gelombang mikro kos rendah yang amat sesuai dipasang di dapur rumah rakyat China yang sempit. Firma ini telah menjadi salah satu pengeluar gelombang mikro terbesar di dunia pada masa kini. Firma yang juga dikatakan berjaya dalam melaksanakan inovasi frugal adalah Xiaomi yang pada asalnya hanya bergantung pada penjualan atas talian.

Namun, produk mereka menjadi terkenal dengan spesifikasi mewah pada harga yang jauh lebih murah daripada jenama lain seperti Apple dan Samsung.  Manakala firma subsidiari asing iaitu, General Electric mengeluarkan mesin ultrasound mudah alih untuk digunakan di kawasan luar bandar China.

Sementara itu, firma tempatan di India seperti Tata Motor, Tata Chemical; dan firma  subsidiari asing seperti Hindustan Unilever Ltd; juga telah berjaya melakukan inovasi frugal. Tata Motor menghasilkan sebuah kereta berasaskan teknologi dengan saiz yang lebih padat tanpa dilengkapi kemudahan keselamatan seperti kereta lain untuk pasaran tempatan.

Justifikasinya, semua tersebut adalah antara contoh produk yang memenuhi keperluan asas dengan kos yang rendah tetapi memberi nilai yang setanding dengan produk konvensional.

Sebagaimana yang kita sedia maklum inovasi di Malaysia terbatas dengan sumber daya dan faktor kos. Oleh itu, inovasi frugal amatlah sesuai untuk dipraktikkan di negara ini. Keadaan makro dan dasar pemerintahan yang menyokong adalah sangat penting untuk pelaksanaannya. Mengambil contoh, faktor yang menyokong inovasi frugal di India adalah keusahawanan, industri berasaskan teknologi dan inovasi, pasaran domestik yang luas, penduduk berpendapatan rendah dan sederhana yang dominan, keterbukaan terhadap pelaburan asing, dan yang terpenting adalah sokongan daripada kerajaan dan agensi-agensi.

Oleh hal yang demikian, inovasi frugal sangat berpotensi untuk dilaksanakan dan dikembangkan di Malaysia jika industri berasaskan teknologi dan inovasi diperkukuhkan dan kerajaan menyediakan dan melaksanakan polisi yang berkesan. Inovasi frugal bukan sahaja menawarkan produk yang praktik dan sederhana tanpa menjejaskan fungsi produk yang sedia ada. Dengan keadaan sedemikian, golongan bawahan juga mampu menikmati produk berteknologi tinggi pada harga mampu milik.

Salah satu contoh terkini di negara kita adalah perusahaan otomatif negara yang terkenal iaitu Perodua telah menghasilkan kenderaan utiliti sukan (SUV) yang setanding jenama antarabangsa walaupun tidak dilengkapi beberapa ciri tambahan. Namun begitu, Aruz masih dilengkapi peralatan keselamatan dan menjadi kenderaan pilihan rakyat Malaysia.

Konklusinya, peranan kerajaan dan agensi-agensi berkaitan teknologi yang fokus terhadap maklum balas pengguna, lebih fleksibel dalam program R&D mereka,  serta penekanan tinggi terhadap prinsip inovasi frugal akan menjamin keberkesannya dan Malaysia akan menjadi peneraju pasaran dalam sektor yang disasarkan.

*Niza Afendi, Tutor Sekolah Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah Darul Aman

 

 

 

 

 

 

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat