Kawal sempadan negara sekat penularan varian baru, titah Agong

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan hendaklah memperkemaskan dasar berhubung kemasukan dan pemberian visa kepada warga asing agar penularan varian baru COVID-19 dapat dikawal.

Yang di-Pertuan Agong, Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, pada masa yang sama, kawalan sempadan negara perlu sebilang masa diketatkan bagi membendung kemasukan pendatang asing tanpa izin.

Baginda menegaskan supaya kerajaan sentiasa terus berusaha untuk menurunkan kes jangkitan harian COVID-19 dan mencapai imuniti kelompok dengan segera.

“Negara kini berada di atas landasan yang kukuh dalam menangani pandemik COVID-19 menerusi pembentukan Majlis Pemulihan Negara dan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan serta pakej bantuan kewangan dan rangsangan ekonomi kepada rakyat.

“Beta amat menghargai segala usaha berterusan kerajaan dalam melaksanakan pelbagai strategi bagi menangani pandemik COVID-19 serta impaknya terhadap aspek ekonomi, sosial dan kesejahteraan rakyat.

“Manakala, peratus kes sembuh COVID-19 di negara kita adalah tinggi dan majoriti kes baharu pula adalah tergolong dalam kategori 1 dan 2. Malahan, negara kita adalah antara negara dengan kadar vaksinasi terpantas di dunia,” titah Baginda pada Istiadat Pembukaan Dewan Rakyat Penggal Parlimen Keempat, pada Isnin.

Pun begitu, Baginda berkata, pencapaian tersebut sudah pasti merupakan hasil daripada kejayaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dan Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta.

“Kini, hampir 75 peratus pekerja sektor pembuatan yang berdaftar dengan program imunisasi industri telah menerima vaksinasi lengkap dan telah membantu meningkatkan produktiviti di sektor pengilangan dan pembuatan.

“Di sebalik kejayaan ini, Beta menyeru supaya kita jangan cepat terleka dan berpuas hati. Usaha hendaklah diteruskan bagi mengekang penularan jangkitan terutamanya dengan kemunculan pelbagai varian baharu.

“Kerajaan hendaklah terus berusaha untuk menurunkan kes jangkitan harian COVID-19 dan mencapai imuniti kelompok dengan segera,” titah Baginda.

Menyedari hakikat tersebut, Al-Sultan Abdullah bertitah, strategi “whole-of-society effort” perlu dipergiatkan dengan naratif komunikasi yang berkesan.

“Beta mengalu- alukan usaha kerajaan dalam memperkasa “Agenda Nasional Malaysia Sihat” dalam mendidik Keluarga Malaysia untuk hidup bersama virus ini.

“Menerusi pendekatan ini, rakyat akan berasa yakin untuk menerima dan menyesuaikan diri dengan senario COVID-19 sebagai endemik, yang bersifat kekal dan menjadi sebahagian daripada kehidupan kita.

“Dalam kita menerima COVID-19 sebagai sebahagian daripada kehidupan, seluruh rakyat hendaklah sedar akan bahayanya virus ini, khususnya varian baharu dan juga kemungkinan munculnya pelbagai varian lain pada masa hadapan.

“Justeru, rakyat masih lagi perlu untuk sentiasa menjaga kesihatan diri, mengambil langkah berjaga-jaga dan kekal berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard pada sebilang masa. Lebih utama, rakyat hendaklah menentukan diri mereka divaksinasi,” titahnya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat