KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi penjelasan bahawa pelantikan Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berpandu Perlembagaan Persekutuan dan mempunyai majoriti yang cukup untuk membentuk kerajaan.
Menurut Baginda, pada 16 Ogos yang lalu, buat kali kedua dalam tempoh pemerintahannya, negara telah sekali lagi menyaksikan peletakan jawatan Perdana Menteri.
“Pada kesempatan ini, Beta ingin menzahirkan penghargaan kepada Yang Berhormat Tan Sri Mahiaddin Md Yasin, Perdana Menteri Malaysia yang ke-8 dan barisan Ahli Jemaah Menteri yang telah menerajui pentadbiran negara mengharungi cabaran pandemik COVID-19 yang getir.
“Seperti yang berlaku pada tahun 2020 yang lalu ekoran peletakan jawatan Perdana Menteri Malaysia yang ke-7, amanah berat untuk memilih dan melantik Perdana Menteri Malaysia yang ke-9 telah Beta laksanakan dengan berpandu kepada Perlembagaan Persekutuan,” titah Baginda pada Istiadat Pembukaan Dewan Rakyat Penggal Parlimen Keempat Parlimen, pada Isnin.
Al-Sultan Abdullah memaklumkan, selaras
dengan konsep Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen, Baginda telah memberi peluang kepada semua 220 orang Ahli- Ahli Dewan Rakyat untuk menamakan menerusi surat akuan seorang Ahli Dewan Rakyat yang diberi kepercayaan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.
Justeru, titahnya menerusi surat-surat akuan tersebut, Baginda mendapati seramai 114 Ahli Dewan Rakyat telah memberi kepercayaan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ahli Parlimen Bera.
“Pada 19 Ogos 2021, setelah menerima menghadap semua 114 Ahli Dewan Rakyat tersebut, Beta telah berpuas hati bahawa kepercayaan yang diberikan kepada Yang Amat Berhormat Ahli Parlimen Bera adalah dengan kerelaan mereka sendiri serta dengan tanpa sebarang paksaan.
“Jumlah ini adalah merupakan jumlah majoriti yang mencukupi untuk membentuk Kerajaan.
“Justeru, selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, Beta telah berkenan untuk melantik Datuk Seri Ismail Sabri Bin Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-9,” ujar Baginda.
Susulan itu, Yang di-Pertuan Agong bertitah bahawa kerajaan yang baru dibentuk ini hendaklah segera melipat gandakan usaha untuk memerangi pandemik COVID-19 dan membawa negara serta rakyat Baginda keluar daripada ancaman pandemik ini.
Titah Baginda, menerusi amalan budaya kerja berprestasi tinggi dan tumpuan untuk mencapai sasaran jangka pendek dan panjang, Baginda percaya kerajaan ini mampu membuktikan pencapaian awalnya dalam tempoh 100 hari pertama.
Dalam pada itu, Yang di-Pertuan Agong menasihatkan kepada semua pihak untuk mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa jua permasalahan.
“Justeru, Beta menyambut baik keterbukaan kerajaan dengan memberi peluang kepada pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen untuk melibatkan diri dalam tadbir urus negara.
“Kematangan seperti inilah yang didambakan oleh seluruh rakyat Beta. Ambillah nasihat pepatah Melayu lama yang berbunyi “biduk lalu, kiambang bertaut”. Sesungguhnya yang menang tidak menang semua, dan yang kalah tidak kalah semua.
“Hanya menerusi perpaduan, kesepakatan dan kebersamaan yang erat bagaikan sebuah “Keluarga Malaysia” sahajalah, kita akan dapat mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan yang bakal ditempuh,” titah Al-Sultan Abdullah