KUALA LUMPUR – Kerajaan Kelantan mengakui Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) mempunyai tunggakan bil elektrik sebanyak RM61 juta dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan akan menyelesaikan hutang itu mengikut jadual.
Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Datuk Dr Izani Husin, berkata tunggakan bil itu berlaku ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan akibat pandemik COVID-19.
Beliau berkata, pihaknya ketika itu tidak dapat keluar membuat kutipan dan ada dalam kalangan rakyat pula tidak membayar bil kerana bekalan air ketika itu kerap tiada.
Bagaimanapun, katanya, perkara yang dibangkitkan membabitkan hutang TNB itu akan diselesaikan.
“Berhubung kes itu (hutang), pihak TNB sudah datang berjumpa kita dan berbincang bagi mencari penyelesaian.
“Pada mesyuarat EXCO, kita ada sebut dan perkara yang dibangkitkan akan diselesaikan mengikut jadual dan sekarang pengurusan (AKSB) bertambah baik,” katanya selepas Mesyuarat EXCO di Kota Darulnaim lapor BH di Kota Bharu pada Rabu.
Media sebelum ini melaporkan, AKSB memiliki tunggakan bil elektrik kira-kira RM61 juta dengan TNB sehingga 30 Jun lalu.
Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata tunggakan bil elektrik AKSB itu direkodkan melalui 198 akaun.
Beliau berkata, ia sebahagian daripada keseluruhan RM229 juta nilai tunggakan bil elektrik di Kelantan sehingga tempoh sama yang membabitkan 492,174 akaun pengguna.
Izani berkata, sebelum ini pihaknya sudah membuat bayaran bil yang lapuk dan ia berjalan dengan baik mengikut jadual.



