KUALA LUMPUR – Wujud perbezaan antara kerjasama PAS bersama Perikatan Nasional (PN) yang didominasi oleh kepimpinan Melayu Islam dengan kerjasama politik yang terjalin yang membentuk Kerajaan Perpaduan.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, kerjasama PAS-PN mengambil teladan Rasulullah SAW yang menyatukan kaum bangsa Arab yang Islam dan bukan Islam yang tidak ekstrem, bagi melaksanakan konsep adil kepada semua yang berprinsipkan aqidah beriman dan berakhlak.
Pun begitu kata Hadi, kerjasama Pakatan Harapan (PH) bersifat liberal dan pragmatik bersama Umno yang hanyut meninggalkan dasar perjuangannya sehingga berwala’ kepada DAP yang menjadi parti terbesar.
Menurutnya DAP, sebuah parti yang ekstrem bersama ideologinya iaitu sekularisme dan ‘Malaysian Malaysia’ yang terpisah daripada agama dan boleh menghapuskan kepimpinan Melayu Islam.
“Hari ini, kita menyaksikan kelemahan dan kehinaan umat Islam, walaupun jumlah mereka kini lebih daripada satu bilion dan dilimpahi dengan hasil bumi yang banyak kurniaan Allah SWT. Namun begitu, mereka dalam keadaan yang sangat lemah kerana tiada kuasa politik, akibat meninggalkan amanah Allah yang besar kepada mereka.
“Mereka diseksa dengan pemerintah yang lemah dan zalim, kenaikan harga barangan keperluan hidup, pengangguran, menjadi pekerja kepada orang lain, dan berbagai-bagai penyakit sosial. Sehinggakan, musuh Islam berani membakar kitab suci al-Quran, di samping memeras kekayaan bumi dan tenaga kita.
“Walaupun Allah SWT tetap memelihara al-Quran, namun umat Islam menerima laknat oleh Allah kerana tidak mampu mempertahankan al-Quran lantaran tidak mempunyai kuasa politik. Khususnya, apabila mereka meninggalkan kewajipan amar ma‘ruf dan nahi munkar yang sangat besar dalam Islam.
“Bahkan, mereka juga tidak mahu bersama kumpulan Islam yang masih ingin mempertahankan Islam, walaupun ia diwajibkan oleh Allah SWT,” katanya dalam catatan Minda Presiden PAS pada Khamis.
Tambah Hadi lagi, benarlah sabda Rasullullah SAW apabila umat Islam sekarang diperintah oleh mereka yang jahat, suka berbohong, mengambil rasuah, dan melakukan berbagai-bagai maksiat yang nyata dan tersembunyi.
“Semua ini kesan daripada umat Islam meninggalkan kewajipan politik memilih pemimpin untuk mendapat kuasa kepimpinan Islam, dalam keadaan bukan Islam pula berlumba-lumba keluar mengundi bagi merampas kuasa politik.
“Pelbagai penipuan dilakukan bagi mengelirukan umat Islam dengan mengekalkan jenama Islam tanpa kuasa tertinggi dalam Perlembagaan Persekutuan, sehingga hukum Allah menjadi lebih rendah daripada hukum manusia.
“Lebih membahayakan lagi, apabila melihat kalangan berilmu yang meletakkan akalnya ke dalam perut, bukan dijunjung di atas kepala,” bidas beliau.
Kata Hadi, sesungguhnya, Islam diwajibkan memimpin dan diizinkan bertahaluf (bekerjasama bersama bukan Islam dalam masyarakat majmuk atas dasar Islam memimpin). Namun begitu, diharamkan berwala’ kepada bukan Islam (diberikan kepimpinan yang melibatkan dasar menghanyutkan Islam).
Jelas beliau lagi, Islam menjadi dagang dengan tindakan meminggirkan politik Islam dan menghapuskannya pada zaman merebaknya kejahilan agama sehingga tanah air umat Islam berpecah dan dijajah.
“Khususnya pada zaman penjajah yang merancang bagi melumpuhkan umat Islam. Fahaman sekularisme yang telah merosakkan Ahli Kitab daripada golongan Yahudi dan Nasrani dipengaruhi oleh kitab Injil yang telah diselewengkan, sehingga mencipta aliran sekularisme.
“Kemudian, sekularisme dijadikan senjata serangan pemikiran yang melumpuhkan umat Islam di seluruh pelosok dunia, sehingga kerajaan Turki ‘Uthmaniyyah yang merupakan kuasa besar pada waktu itu digulingkan. Akibatnya, tanah air umat Islam kehilangan penaung yang kuat, sehinggakan seluruh dunia Islam dijajah.
“Snouck Hurgronje, orientalis Belanda yang terkenal pernah membuat kenyataan terbuka tentang bahaya politik Islam: “Tidak berbahaya sekiranya dibiarkan umat Islam beribadat sahaja, namun sangat bahaya jika mereka berpolitik kembali semula bagi menegakkan kerajaannya. Tidak berbahaya jika ulama’ hanya mengajar agama sahaja tanpa mengajar tentang politik. Adalah sangat berbahaya jika membawa pendekatan untuk kembali semula kepada pemerintahan Khilafah (politik Islam).”
“Maka, kerajaan penjajah melarang umat Islam daripada menyampaikan pengajian dan khutbah yang membawa kefahaman politik Islam, melalui undang-undang yang dikuatkuasakan atas nama pentadbiran hal ehwal agama Islam bagi mengawal kegiatan ilmu dan mengepungnya.
Apabila mereka gagal memurtadkan penganut Islam supaya meninggalkan Islam sepenuhnya, lalu mereka membuat perancangan lain dengan cara memberikan kefahaman yang salah terhadap Islam sedikit demi sedikit,” katanya.