KUALA LUMPUR – Parti Bangsa Malaysia dalam satu kenyataan media hari ini berkata, berikutan kejadian bencana banjir yang berlaku di Negeri Selangor (Disember 2021), Negeri Pahang (Januari 2022) dan juga Negeri Kedah (Julai 2022), parti itu berpendapat sudah tiba masanya pihak berkuasa di negara ini menyediakan satu pelan tindakan mitigasi yang holistik.

Ketua Penerangannya, Zakaria Abdul Hamid dipetik sebagai berkata, sebagai sebuah negara beriklim tropika yang terletak di garisan khatulistiwa, penerimaan hujan yang tinggi sudah tentu menjadi salah satu faktor utama berlakunya banjir di negara ini.

Namun begitu, kita tidak boleh menafikan kejadian bencana banjir yang berlaku baru-baru ini, turut disumbangkan oleh faktor-faktor seperti pembangunan tidak terancang, kegagalan penyelenggaraan seperti pembersihan sampah dan rumput rampai dalam sistem perparitan, serta kerja mendalamkan sungai secara berkala, dan juga kemusnahan alam sekitar atas nama pembangunan ekonomi.

Pada ketika ini, tidak wajar bagi para pemimpin politik untuk terus menyalahkan antara satu sama lain, kerana adalah lebih baik sekiranya kita semua berganding bahu untuk mewujudkan satu pelan tindakan jangka panjang dan jangka pendek bagi meminimakan impak banjir kepada kawasan-kawasan yang berisiko tinggi dan juga menyediakan fasiliti secukupnya bagi mengelakkan banjir di kawasan yang berisiko rendah.

Sebagai contoh, bagi mengelakkan kejadian banjir berlaku di kawasan bandar, adalah penting untuk pihak berwajib segera memainkan peranan yang lebih proaktif, terutamanya dalam menguruskan fasiliti perparitan dan saliran air, terutamanya di kawasan-kawasan berkepadatan penduduk yang tinggi. Kerajaan disaran menyediakan peruntukan tambahan kepada Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi kerja-kerja pembersihan sistem saliran dan mendalamkan sungai-sungai yang terkesan akibat hakisan.

Bagi pelan jangka panjang, untuk mengelakkan kejadian banjir atau banjir kilat berlaku di kawasan bandar, perancangan pembangunan secara lebih teliti akan berupaya untuk memastikan sesuatu kawasan itu tidak terlalu padat, sehingga boleh menyebabkan banyak fasiliti yang disediakan bagi tujuan saliran tidak dapat berfungsi dengan baik.

Bagi kawasan luar bandar pula, antara faktor utama yang perlu diteliti oleh pihak berkuasa adalah masalah kemusnahan hutan (deforestation) yang berlaku secara besar-besaran disebabkan oleh pembangunan pertanian dan juga pembalakan.

Dalam hal ini, adalah penting untuk kita menyemak semula dasar berkenaan penggunaan dan pengambilan hasil hutan, kerana ia akan mendatangkan masalah terhadap tanah dikawasan tersebut, sekaligus menyebabkan bencana alam, seperti banjir untuk berlaku dengan lebih kerap. Bagi kawasan-kawasan yang telah diteroka, kerja-kerja penanaman pokok dan tanaman tutupbumi perlu dipertingkatkan.

Kami turut berharap, kerajaan persekutuan dan negeri, serta pakar-pakar pengurusan bencana dan pengurusan alam sekitar dapat meneliti satu pelan tindakan yang benar-benar berkesan bagi menangani masalah banjir di negara kita.

Parti Bangsa Malaysia percaya, sekiranya pelan tindakan yang benar-benar komprehensif dan holistik dapat diwujudkan, negara kita akan berupaya untuk menangani masalah banjir di Malaysia, untuk masa kini dan akan datang.