Balu Daim dinafikan hak dapat kepastian undang-undang – peguam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu, keputusan Mahkamah Sesyen menolak permohonan Toh Puan Na’imah Abdul Khalid merujuk persoalan undang-undang ke Mahkamah Tinggi, adalah salah laksana keadilan yang serius terhadap isteri bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin.

Peguam Na’imah, Datuk Dr Gurdial Singh Nijar dalam hujahannya berkata keputusan mahkamah pada 18 Februari lalu itu telah menafikan hak anak guamnya untuk mendapatkan kepastian berhubung kedudukan undang-undang beliau.

Beliau berkata ia sewajarnya diperbetulkan bagi menjamin integriti proses kehakiman.

Katanya, pertuduhan terhadap Na’imah adalah satu kesalahan yang bersifat teknikal semata-mata dan berkemungkinan besar dibuat sebagai tindakan balas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Gurdial berkata, anak guamnya telah menerima notis di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM yang menghendakinya mendedahkan maklumat berkaitan aset, dan beliau telah mematuhinya sebaik mungkin.

“Toh Puan Na’imah bukan suspek dalam siasatan, sebaliknya diminta membantu siasatan terhadap arwah suaminya, Allahyarham Tun Daim Zainuddin, sebagai saksi.

“Bagaimanapun, SPRM menganggap pematuhan itu tidak mencukupi… ia mungkin kerana kekurangan maklumat untuk mengenakan sebarang pertuduhan terhadap Allahyarham Tun Daim.

“Berikutan itu, SPRM memulakan pertuduhan terhadap pemohon, ia satu tindakan yang mungkin bersifat pembalasan,” katanya ketika memohon untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang menolak permohonan Na’imah untuk merujuk persoalan undang-undang mengenai kesahihan pertuduhan gagal mengisytiharkan harta yang dihadapinya.

Gurdial berkata, keputusan Mahkamah Sesyen itu menggambarkan salah faham yang jelas dari sudut undang-undang dan prosedur oleh hakim yang mendengar permohonan terbabit, lapor BH pada Jumaat.

Katanya, mahkamah gagal memastikan persoalan undang-undang yang menjadi inti pati kepada kes itu ditangani dengan sewajarnya, sekali gus menafikan hak asasi pemohon untuk mendapatkan penjelasan perundangan.

Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi menolak permohonan itu selepas mendapati permohonan Na’imah tidak bermerit kerana tiada isu perlembagaan berbangkit dalam kes berkenaan.

Pada 29 Februari tahun lalu, Na’imah memfailkan permohonan untuk merujuk persoalan undang-undang membabitkan Seksyen 30(5), Seksyen 36(2) dan Seksyen 62 Akta SPRM serta Seksyen 32(3)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 ke Mahkamah Tinggi.

Pada 23 Januari tahun lalu, beliau didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan gagal mematuhi notis bagi mengisytiharkan hartanya termasuk Menara Ilham serta beberapa aset lain di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda RM100,000 jika sabit kesalahan.

Hakim Mahkamah Tinggi, K Muniandy, menetapkan pada 11 Julai ini untuk pihak menyambung hujahan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat