kUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar tidak akan merayu atas pemecatan keahlian UMNO walaupun Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan kesediaan untuk menimbangkan rayuan pemimpin UMNO yang digantung dan dipecat sebelum pemilihan parti lepas.
Noh yang juga bekas Ahli Parlimen Tanjung Karang juga berkata lagi, dia tiidak perlu merayu sebaliknya Majlis Tertinggi (MT) hendaklah membatalkan keputusan pemecatan dan menerima kembali keahlian saya secara automatik.
Tegasnya, pemecatan dan penggantungan kami adalah ultra vires (tidak mengikut undang undang) atau tidak sah kerana Presiden tidak mengikut peraturan dan perlembagaan parti .
“Pertama sekali saya hendak ucapkan terima kasih khususnya kepada Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang telah pun memberi cadangan supaya ahli ahli UMNO dan pimpinan UMNO yang digantung dan dipecat diterima semula jika membuat rayuan.
“Dan yang ke-2 itu memang saya sokong cadangan yang baik, tetapi apabila saya membaca kenyataan yang diberikan oleh Presiden, bahawa rayuan tersebut mestilah mengikut peraturan dan Perlembagaan.
“Memang kita semua tahu mengikut peraturan dan Perlembagaan UMNO apabila seseorang itu hendak diambil tindakan disiplin mestilah melalui lembaga disiplin dan daripada lembaga disiplin akan dibawa kepada jawatankuasa pengurusan yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden dan kemudian barulah dibawa dalam Majlis Tertinggi.” jelas Noh melalui perkongsian video di Facebooknya.
Menurut Noh lagi, dalam beberapa kes ada yang UMNO ambil tindakan tidak melalui lembaga disiplin, tidak melalui jawatankuasa pengurusan dan terus dibentangkan di dalam mesyuarat majlis tertinggi.
Dalam kes tertentu ujar Noh, sepatutnya Presiden yang mempengerusikan mesyuarat tersebut mencadangkan dalam majlis tertinggi dan majlis tertinggi diberi peluang untuk memberi pandangan dan berbahas.
Contohnya dalam kes pemecatan seorang ahli UMNO, perbincangan dalam majlis tertinggi dan undian bersetuju atau tidak pemecatan itu dilakukan mengikut prosedur parti.
“Saya ingin hendak bertanya pada Presiden, baru sekarang Presiden mengatakan mengikut peraturan lembaga disiplin ialah badan proffesional, mengapa sekarang?
“Mengapa waktu hendak memecat kami dulu, nak mengantung kami dulu tidak mengikut peraturan?
“Presiden sepatutnya kalau nak ambil tindakan hendaklah dibentang dalam majlis tertinggi dan bukannya terus menggunakan kuasa diktator dan dia menipu majlis tertinggi menagatakan bahawa telah berbincang dengan lembaga disiplin.” katanya lagi.
Tegas Noh, UMNO ini bukan hak milik Presiden tetapi dimiliki oleh 3.5 juta ahli UMNO.
Terdahulu semalam, Ahli Parlimen Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Hussein tidak akan mengemukakan rayuan atas penggantungan keahlian UMNO selama enam tahun walaupun Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan kesediaan untuk menimbangkan rayuan pemimpin UMNO yang digantung dan dipecat.
Menurut bekas Naib Presiden UMNO tersebut, tawaran pengampunan bersyarat untuk menerima kembali pemimpin parti yang digantung dan dipecat sebagai tidak masuk akal dan tidak bermakna apa-apa kepada dirinya.
“Yang kita tahu kita kena mohon untuk diterima semula. Keduanya, kena bawa ke jawatankuasa disiplin, tapi bagi saya sampai hari ini, saya tak tahu sebabnya saya digantung. Dan masa saya digantung dulu, Jawatankuasa Disiplin tak pernah panggil untuk siasat, untuk jawab.”
Hishammuddin turut berpendapat tidak ada sebab untuk beliau merayu kerana proses penggantungannya juga tidak adil.
“MT telah pun menggantung saya tanpa dirujuk kepada Jawatankuasa Disiplin… yang sekarang ini saya diminta untuk (merayu)… tak masuk akal.” -SUARATV